Home » , » Muzik tradisional diperkenalkan semula

Muzik tradisional diperkenalkan semula

Written By Jurnalis Shah Alam on Tuesday, 24 April 2012 | 24.4.12

Kehadiran muzik Ghazal dapat menukarkan sebuah majlis yang suram kepada majlis yang meriah.


SHAH ALAM - Ramai yang sudah lama meninggalkan sesetengah warisan peninggalan atau adat yang dipraktikkan oleh orang Melayu. Ada yang menganggap bahawa adat ini melecehkan dan ada yang menerima adat dengan tangan terbuka.

Keadaan ini sama dengan alatan muzik tradisional yang jarang dapat dijumpai sekarang ini. Jikalau yang adapun, hanya segelintir yang berminat untuk memainkan muzik klasik ini. Muzik tradisional seperti ghazal telah diraikan semula baru-baru ini di sebuah acara yang mengenengahkan beberapa adat peninggalan warisan nenek moyang kita.

Ghazal yang asal usulnya dari negeri Johor merupakan salah satu jenis muzik tradisional yang jarang dimainkan oleh muda-mudi sekarang ini. Seni muzik ghazal ini disebut sebagai qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah. Oleh itu, apabila ghazal dimainkan keadaan sesuatu situasi akan bertambah meriah.

Antara alat-alat yang digunakan sebagai muzik ghazal melayu Johor yang tradisional ialah harmonium, satu set alat tabela, gambus, gitar, tamborin, marakas dan juga violin.
Santai berpeluang untuk berjumpa dengan sekumpulan pemain muzik tradisional yang terdiri daripada jejaka-jejaka muda yang gemar memainkan lagu-lagu ghazal menggunakan alatan muzik tradisional.

Kumpulan pemain ghazal ini terdiri daripada pelajar diploma Akademi Seni Warisan Rakyat atau lebih dikenali sebagai ASWARA. Santai difahamkan bahawa setiap pelajar diploma muzik di ASWARA perlu mengambil sebuah alat muzik lain sebagai alat muzik kedua dan para pemain ghazal tersebut secara sukarela memilih alat muzik tradisional sebagai alat muzik kedua mereka.

Ketika ditemu ramah, Santai diberitahu bahawa kesemua ahli yang bermain memang mempunyai minat untuk bermain alat muzik tradisional tersebut.

“Tidak ada sesiapa yang memaksa saya untuk bermain alat muzik tradisional. Saya sendiri yang nak mempelajarinya”, kata Fendi, 22.

Muzik ghazal yang dimainkan ketika sebuah acara yang bertemakan kenduri kampung di sini sedikit sebanyak dapat memberi muzik latar dan secara tidak langsung memeriahkan acara tersebut.
Ketika acara sedang berlangsung, Santai telah menemu-ramah beberapa orang pelajar yang hadir untuk mendapatkan pendapat mereka tentang muzik ghazal.

“Muzik ghazal ini dapat mengembalikan rasa rindu kepada kampung halaman sebab situasi yang dicipta majlis berbentuk tradisional,” kata Hazliana, 26.

Bercakap tentang asal usul ghazal, para pelajar Universiti Teknologi MARA, UiTM Shah Alam yang berasal dari Johor mengekspresikan kebanggaan mereka terhadap keistimewaan muzik ini.

“Saya amat berbangga dengan kehadiran pemuzik yang memainkan muzik ghazal kerana saya berasal dari negeri Johor yang merupakan asal muzik ini,” kata Nur Hafiza Mohd Salleh, 23.

Kehadiran para pemain muzik ghazal ini juga diharap dapat memberi inspirasi kepada para pelajar institusi ini untuk mencuba alat muzik yang semakin hilang ditelan zaman. Bagi menaikkan lagi semangat untuk mempelajari cara untuk memainkan muzik ghazal, para pelajar juga digalakkan untuk menyertai program seperti yang terdapat di pusat kebudayaan UiTM.



Wartawan: Nurul 'Izzah Khalil
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger