Sukarelawan mendengar penerangan daripada Pak Daud sebelum mencantas dahan pokok limau |
SHAH ALAM - University Ambassador UiTM dengan kerjasama Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Shah Alam telah menarik minat 50 mahasiswa dari pelbagai fakulti untuk mengikut program khidmat masyarakat ini yang berlangsung selama satu hari sahaja.
Selain berbudi kepada masyarakat, mereka juga dapat berbudi kepada tanah dengan mempelajari cara-cara untuk bercucuk tanam, seperti membaja, mencantas dan membersihkan kawasan ladang untuk mendapatkan hasil tanaman yang lebih berkualiti.
Walaupun sukarelawan yang hadir datang dari pelbagai fakulti, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengikuti progam ini dengan bantuan daripada pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dengan kerjasama daripada peladang-peladang kampung yang terlibat.
Menurut Mohd Noorazrein bin Noorazlan Ong, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung, malahan menekankan aspek-aspek penting dalam mencari peluang perniagaan dalam bidang pertanian dan perladangan.
Di samping itu, peladang kampung juga dapat memanfaatkan bantuan ini untuk menjana hasil tanaman yang lebih berkualiti dan lumayan.
Daripada rekod, program ini telah dianjurkan sebanyak tiga kali melibatkan kampung yang sama dan memberi impak yang positif kepada mahasiswa dan peladang.
“Tugas mahasiswa bukanlah menelaah buku sahaja. Banyak perkara yang dapat dilakukan sekiranya kita pandai membahagikan masa.
"Jadi, dengan mengikuti program ini sedkit sebanyak telah memberikan pendedahan kepada mereka,” kata beliau.
Katanya, kebanyakan mahasiswa pada masa ini lebih tertumpu kepada pelajaran tanpa menghiraukan isu yang berlaku kepada masyarakat sekeliling mereka.
"Untuk menghasilkan mahasiswa yang berkualiti, mereka perlulah seimbang dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah.
"Kita tidak mahu mahasiswa ini cuma tertumpu pada bidang akademik sahaja tanpa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan."
"Diharapkan mahasiswa dapat melibatkan diri dengan lebih aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan supaya mereka tidak ketinggalan untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman," ulas Noorazrein.
Antara organisasi yang terlibat sama menjayakan program ini, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani), KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Kolej Komuniti.
0 comments:
Post a Comment