Home » » Rachel Corrie Hidup Kali Kedua

Rachel Corrie Hidup Kali Kedua

Written By Jurnalis Shah Alam on Tuesday 9 November 2010 | 9.11.10

Semangatnya terus dijuangkan...

Gadis Amerika yang mati dilanyak jentolak Israel ketika cuba mempertahankan sebuah penempatan di Gaza.


Teruja namun sedikit gentar. Itu perasaan tatkala menerima makluman terpilih membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza pada Mei lalu. Saat itu saya berada di Bandung, Indonesia sedang bercuti bersama-sama teman. Fikiran mula mencongak dengan telahan, “bukankah Gaza sekarang tengah berkonflik?” Tapi itulah cabaran yang harus digalas apabila bergelar wartawan.

22 Mei 2010, hanya bertemankan ibu dan bapa di KLIA, Sepang bagi mengucapkan selamat jalan. Bertemu dengan beberapa lagi sukarelawan Perdana Global Peace Organisation, PGPO membakar sedikit semangat untuk ke Cyprus.

Destinasi menarik itu ditujui kerana saya difahamkan kapal bantuan Malaysia, MV Rachel Corrie akan berlabuh di pulau peranginan itu dan kami akan menyertainya dari sana dan terus menuju ke Gaza kerana lokasinya berhampiran.

Namun, tunggu punya tunggu… Lapan hari kami terkandas. Keputusan dibuat dan penerbangan dimabil ke Malta, sebuah lagi pulau peranginan yang mana mengambil masa lima jam untuk ke sana. Alasan PGPO, Rachel Corrie tidak dibenarkan berlabuh di Cyprus kerana mendapat tekanan pihak tertentu.

Tidur semalam di Malta dan tanpa berlengah lagi, percaturan terpaksa diatur segera. Kami terus mengambil bot penumpang untuk menaiki Rachel Corrie yang sudah sedia menanti berhampiran perairan Malta. Gelora Laut Mediteranean menggoncang lagi semangat saya untuk melihat Rachel Corrie yang dikhabarkan dibeli hasil wang sumbangan rakyat Malaysia melalui Tabung Kemanusiaan Palestin.

Tiga jam di atas bot penumpang terbabit, akhirnya kelibat Rachel Corrie berada di depan mata. Teruja dan kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan semua sukarelawan Malaysia dan Ireland yang menanti sekian lama untuk menyertai beberapa lagi kapal yang menyertai “Freedom Flotilla” yang sudah memulakan pelayaran dari Turki.

Memulakan pelayaran, saya terpaksa mengambil pil tidur kerana mabuk laut yang teruk. Hanya sedar 12 jam kemudiaan kerana telefon bimbit yang masih ada liputan berdering dan sms masuk secara “banyak”. Namun kerana penangan pil tidur tadi maka tidak larat rasanya untuk melihat siapa yang menghantarnya.

Terdetik dalam hati, kenapa pula secara tiba-tiba ramai yang menghubungi. Saya gagahkan juga mencelikkan mata dan melihat “miss call” dan sms yang masuk tadi. Hah? Apa yang sedang berlaku? “Pelase confirm this, is it true 12 people shot dead by Israelis navy?”, “Adik, are u ok?” dan sms yang sewaktu dengannya. Apa ini? Hati saya mula berdebar-debar…

Bangkit bangun dari katil di bilik yang saya kongsi dengan sukarelawan lain, saya terus ke “mass area” atau tempat anak kapal berehat yang terletak berhampiran dapur. Muka semua orang nampak serius. Apa sudah jadi? Saya kemudiaannya dimaklumkan, kapal bantuan yang sudah berlepas dari Turki diserang tentera laut Israel dan menyebabkan beberapa kematian.

Saat menerima berita gempar itu, mulalah muka ibu dan ayah serta kawan-kawan lain. Saya cuba menghubungi wartawan Astro Awani yang berada di kapal MV Mavi Marmara. Namun talian tidak dapat dihubungi. Terdengar suara sukarelawan Malaysia dan Ireland yang sedang berbincang. Antara lain ada yang mahu pelayaran kami dihentikan dan ada yang mahu ia diteruskan. Tiada kata sepakat, namun setelah berbincang panjang, ketetapan dibuat, MV Rachel Corrie akan meneruskan pelayaran Misi Bantuan Kemanusiaan itu.

Satu kenyataan dikeluarkan dan disebar kepada media seluruh dunia bagi menyatakan ketegasan yang sudah diambil itu dan dalam masa yang sama ucapan takziah kepada yang terkorban akita serangan Rejim Zionis itu. Maka bermulalah episod baru dalam pelayaran kami menuju ke Gaza.

Tujuh hari pelayaran selepas tragedi berdarah itu, kami diingatkan agar sentiasa bersiap sedia. Apa jua kemungkinan boleh berlaku. Maka pada 30 Mei 2010 hari Sabtu, semua yang dibayangkan tentang Israel mula terjadi.

Seawal jam enam pagi, kapal kami mula di”datangi” oleh dua kapal perang Israel yang belayar sedikit jauh. Saat itu sistem radar dan semua alat telekomunikasi mula tidak berfungsi. Menurut kapten kapal, tujuan kehadiran dua kapal perang Israel itu adalah bagi menyekat sistem komunikasi Rachel Corrie.

Kami diarahkan duduk di tengah-tengah kapal. Matahari mula terbit. Sekali lagi ingatan dan amaran, “Jangan melawan Israel”…kerana tidak mahu apa yang terjadi kepada Mavi Marmara berlaku ke atas Rachel Corrie. Dengan tenang kami merakamkan setiap detik yang berlaku.

MV Rachel Corrie diambil sempena memperingati usaha beliau menyelamatkan Gaza.


Tujuh pagi, terdapat dua lagi kapal perang Israel menghampiri Rachel Corrie dan menjadikannya empat. Semuanya bergerak hampir dengan kami. Saat itulah Rachel Corrie dihubungi Komander Tentera Israel yang mahukan kami berpatah balik atau pergi ke Pelabuhan Ashdod di Israel. Namun apa jua tawaran dan amaran Rejim Zionis itu, kami tidak endahkan. Dengan tegas, Kapten kapal berkata yang kami tidak mahu ke Israel dan pelayaran itupun tiada kena mengena dengan Israel dan apatah lagi kami masih berada di atas perairan antarabangsa.

Mungkin kerana kedegilan kami yang seakan menempah maut itu maka, enam lagi bot penggempur Israel dengan sepuluh anggota bertopeng serta lengkap bersenjata dilihat memecut laju ke arah kami. Menjadikan semuanya sepuluh buah kapal perang Israel di sekeliling kami yang tidak sampai dua puluh orang serta tidak bersenjata langsung!

Sejam kami dibiarkan “terapung-apung” atas Laut Mediteranean, akhirnya tanpa amaran, enam bot penggempur Israel tadi menuju laju kearah Rachel Corrie. Keadaan kelam kabut seketika. Kami berlari ke tengah kapal untuk bersiap-sedia dengan “serangan” Israel itu.

Sepuluh minit kemudiannya, kelibat tentera Israel yang bertopeng dan lengkap bersenjata naik ke atas Rachel Corrie. Kami diarah mengikut segala arahan dan saat itu tidak kedengaran sebarang bantahan daripada kami. Dengan “senyuman” ketua komander Israel mengatakan yang Rachel Corrie kini di bawah kawalan mereka. Senapang diacu kepada kami. Kami dipanggil seorang demi seorang untuk diperiksa passport. Habis semua peralatan telekomunikasi dirampas.

Pelik tetapi benar! Tiada kekerasan seperti yang berlaku kepada Mavi Marmara dilakukan terhadap kami. Tiba di pelabuhan Ashdod di Israel, kami sekali lagi diperiksa dan di sinilah semua beg kami diasingkan. Dengan menaiki bas, kami kemudiannya di bawa ke pusat imigresen Israel dan maklumat peribadi kami sekali lagi dicatat dan kami disoal siasat.

Ironinya, ketika disoal siasat, mereka (Israel) seakan-akan tahu semua maklumat mengenai kami. Saya sendiri disoal sejak bila menjadi wartawan dan sebagainya. Paling menarik, nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad begitu dikenali di kalangan pegawai imigresen tadi. Ada soalan mereka bertanyakan mengapa Tun Dr Mahathir tidak menyukai Israel serta mengapa Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel. Semuanya tidak dijawab oleh saya dan yang lain dan kami meminta untuk diwakili peguam.

Satu kertas bertulisan Hebrew kemudiannya diberi kepada kami untuk ditanda tangani. Enggan bekerjasama, kami akhirnya disumbat ke dalam pusat tahanan Israel. Kami diberitahu bahawa kami akan ditahan selama tiga hari sebelum dibicarakan di mahkamah mereka kerana menceroboh Israel!

Tiba di pusat tahanan Imigresen, kami disumbat di dalam sel yang boleh memuatkan ramai “banduan”. Namun sedikit lega apabila kami dipanggil oleh pegawai di pusat tahanan tersebut kerana ada “orang” ingin berjumpa. Rupa-rupanya “orang” yang ingin berjumpa dengan kami itu adalah pegawai diplomat dari Kedutaan Thailand di Tel Aviv. Mereka diarah Wisma Putra Malaysia bagi membantu kami.

Esoknya, jam lapan pagi di Israel, kami dikejutkan dan diminta bersiap sedia sebelum kami dibawa ke sempadan Jordan. Dimaklumkan yang kami akan dibebaskan di sana. Alhamdulillah. Lima jam perjalanan ke Jordan, dapat dilihat dengan jelas bahawa Israel yang merdeka pada 1948 merupakan sebuah negara yang “cantik” dan moden. Namun disebalik semua itu, ia adalah hasil daripada air mata rakyat Palestin yang diusir atau dibunuh mereka.

Akhirnya kami bertemu dengan Duta Besar Malaysia di Jordan yang menandakan kami sudah “selesai” dengan misi kami yang “berjaya” tetapi “disekat” oleh Israel. Bersulamkan kecewa dan sedih, kami gembira kerana akibat daripada “tindakan” kami itu maka seluruh dunia bangkit menyaksikan sendiri perangai Israel yang tidak berperi kemanusiaan. Jika ada sukarelawan yang ditembak dengan kejam, apatah lagi nyawa rakyat Palestin yang sememangnya menjadi ketagihan mereka.

Penulis bersyukur ahli rombongan misi ke Gaza selamat pulang ke tanah air.

Dan sehingga rencana ini ditulis, kapal bantuan Malaysia, MV Rachel Corrie masih ditawan Israel sekali dengan semua bantuan yang berada di dalamnya…

Fakta menarik:
  • Semenanjung Gaza mula dikepung Israel sejak 2005 dan penduduknya yang berjumlah 1.5 juta orang dinafikan hak untuk bergerak bebas. Sekatan termasuk udara, darat dan laut.
  • MV Rachel Corrie merupakan kapal bantuan Malaysia yang dibeli dengan harga RM 1.5 juta melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang dinaungi Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
  • Rachel Corrie merupakan seorang gadis Amerika Syarikat yang mati dilanyak jentolak Israel ketika cuba mempertahankan sebuah penempatan di Gaza daripada dirobohkan.
  • PGPO merupakan NGO yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

*Penulis merupakan seorang Eksekutif Wartawan Penyiaran di Divisyen Berita & Ehwal Semasa TV3.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger