Home » » Peniaga Resah Kehadiran Peminta Sedekah

Peniaga Resah Kehadiran Peminta Sedekah

Written By Jurnalis Shah Alam on Tuesday 9 November 2010 | 9.11.10

Peminta Sedekah semakin bertambah di kedai makan sekitar Shah Alam dan kedatangan mereka sedikit sebanyak mengganggu pelanggan.


Beberapa peniaga kedai makan melahirkan rasa tidak puas hati dan kekesalan mereka terhadap kehadiran golongan peminta sedekah dan derma yang tidak berkesudahan di sini, semalam.

Menurut Kak Azni, salah seorang peniaga kedai nasi ayam, saban hari ada saja peminta sedekah yang datang ke gerainya khususnya pada waktu petang dan malam.

“Peminta sedekah yang datang biasanya berteman, ada juga yang datang sendiri. Pelanggan yang datang untuk makan sehingga ada yang marah. Hampir semua kedai makan mereka masuk. Bayangkan berapa banyak duit yang dia dapat dalam satu minggu,” tambahnya lagi.

Naina Mohamad, 34, turut mengalami perkara yang sama apabila hampir setiap hari ada saja peminta sedekah yang terdiri dari kanak-kanak hingga ke orang tua datang ke kedainya.

“Biasanya, peminta sedekah yang kurang upaya akan ditemani oleh seseorang yang sihat anggota badannya. Mereka akan bergerak dari satu meja ke meja yang lain untuk mengutip duit dari para pelanggan,”katanya.

Dalam pada itu, satu lagi masalah yang hampir sama membelenggu peniaga-peniaga terbabit di mana terdapatnya golongan kanak-kanak dan remaja yang mengutip derma dengan menjual kalendar dan ayat Al-Quran dengan harga yang tidak munasabah.

“Pernah saya lihat seorang kanak-kanak menjual kalendar kepada seorang wanita dengan harga RM20. Bagi saya ia cukup mahal untuk kutipan derma,” kata seorang lagi peniaga, Mohamad Sarif, 60.

Dia melahirkan kekesalan terhadap pihak yang mempergunakan golongan ini untuk mendapatkan wang dengan mudah kerana pada usia sebegini, mereka sepatutnya berada di sekolah untuk menuntut ilmu dan bukan berpeleseran di tempat sebegini.

“Saya sedih apabila melihat kebanyakkan yang terbabit dalam kegiatan sebegini terdiri dari bangsa Melayu, bangsa kita sendiri. Seharusnya pihak yang berwajib memantau secara kerap kegiatan mereka ini,” tambahnya.

Seorang peniaga yang tidak mahu dikenali berkata, dia pernah melihat peminta sedekah yang kudung sebelah kakinya datang dengan sebuah kereta Waja dan ini sekaligus menimbulkan perasaan curiga mengenai status kewangan sebenar.

“Ada juga yang kelihatan seperti buta, tetapi seperti tahu akan apa yang ada di hadapan dan mengelak. Kalau nak kata mereka berpura-pura, saya sendiri pun tidak pasti. Kadang-kadang bila kita mahu berikan mereka makanan, mereka menolak kerana mahukan duit sahaja,” ujarnya.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Encik Khairul Hanif ketika dihubungi, beliau menjelaskan bahawa sebarang aduan mengenai masalah ini harus dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan dan pihak MBSA hanya akan terlibat jika pihak JKM meminta bantuan mereka.

“Jika aduan melibatkan peminta sedekah warga asing, pihak JKM akan bekerjasama dengan pihak Imigresen,” tambahnya.

Pihak JKM Shah Alam pula ketika dihubungi menyatakan bahawa pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan berdasarkan aduan yang diterima dan memaklumkan bahawa mereka belum menerima aduan dari para peniaga di sini.

Mereka menjelaskan sekiranya ada tangkapan yang dibuat, peminta sedekah dan derma akan diberi amaran dan keluarga mereka akan dihubungi.

Sekiranya mereka tidak mempunyai waris, pihak JKM akan menghantar mereka ke pusat kebajikan ataupun rumah anak yatim.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger