Home » , » Hanya RM30 untuk kucing angkat

Hanya RM30 untuk kucing angkat

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday 25 April 2012 | 25.4.12

Kucing-kucing comel dan manja yang menginginkan kasih sayang seseorang




SHAH ALAM – Hanya RM30 diperlukan untuk memiliki seekor kucing comel, itulah harga yang ditawarkan oleh Kelab Kucing Malaysia, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menjadi penyelamat kebanyakkan kucing terbiar di negara ini kepada warga kampus yang berminat dalam satu karnival belia baru-baru ini.

Harga yang ditawarkan ini bukanlah bermaksud memperdagangkan nyawa haiwan berkenaan, tetapi ianya sekadar satu simbol sumbangan bagi kelab tersebut dalam usaha memberi pelindungan sebaiknya kepada haiwan-haiwan itu.

Di samping itu, presiden kelab tersebut, Encik Khalid Rashid berkata, kadar yang ditetapkan itu sebenarnya sangat minimum jika dibandingkan dengan kos sebenar yang ditanggung kelab tersebut bagi menempatkan kucing-kucing terbiar itu.

“Sebenarnya kos memelihara kucing ini tidaklah memerlukan belanja yang besar jika kita tahu kaedah yang betul menjaganya, namun segelintir masyarakat beranggapan, belanja besar harus dikeluarkan meliputi makanan dan ubat-ubatan jika ingin memelihara haiwan ini”, ulas Khalid lagi.

Selain itu, dengan adanya program kucing angkat ini, masyarakat khususnya belia akan menjadi lebih prihatin dan penyayang terhadap haiwan terbiar sebegini dan sekaligus melahirkan rasa tanggungjawab di kalangan mereka untuk tidak membiarkan haiwan ini berkeliaran di tepi jalan dengan keadaan yang tidak terurus.

Sementara itu, salah seorang belia yang juga merupakan mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Nurul Samira Zuhari, 22, berkata, RM30 yang diperlukan untuk memiliki kucing angkat ini sangat berbaloi kerana selain dapat memelihara kucing yang comel, nasihat serta kaedah yang betul dalam penjagaan kucing juga diberikan secara percuma oleh Kelab Kucing Malaysia.

“Kalau di luar, pasti kosnya lebih tinggi berbanding dengan apa yang ditawarkan hari ini, di samping khidmat nasihat serta cara penjagaan juga perlu dibayar”, ulasnya lagi.

Di samping itu, pihak Kelab Kucing Malaysia juga telah menyediakan saguhati berupa barang – barang penjagaan kucing yang berjumlah RM100 kepada sesiapa yang mengambil kucing-kucing itu sebagai haiwan angkat peliharaan mereka.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada bukan sahaja belia yang gemarkan kucing, walhal pelbagai golongan daripada peringkat umur yang berbeza juga tertarik dengan gelagat si comel di dalam sangkar yang di sediakan.

Majalah rasmi untuk para pemilik haiwan peliharaan, Petster Magazines juga telah bekerjasama dengan kelab ini untuk mengedarkan majalah mereka secara percuma kepada pengunjung yang hadir dengan harapan majalah mereka dapat memberi pendidikan yang betul dalam penjagaan haiwan peliharaan.



Wartawan: Nor Atilia Mansor
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger