Home » , » Hujan tidak halang Karnival Kokurikulum, Senamrobik Perdana

Hujan tidak halang Karnival Kokurikulum, Senamrobik Perdana

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday 25 April 2012 | 25.4.12

BERAKSI DALAM HUJAN  aksi pemain bola jaring yang tetap aktif meskipun bermain dalam hujan


SHAH ALAM – Meskipun hujan membanjiri Stadium UiTM dan pekarangan Pusat Sukan, namun acara Senamrobik Perdana dan Karnival Kokurikulum masih mendapat sambutan hangat dari pelajar-pelajar UiTM.

Karnival Kokurikulum anjuran Pusat Sukan UiTM membabitkan semua pelajar yang mengambil kursus permainan untuk kokurikulum tahap dua dan tiga yang melibatkan penyertaan dari 28 buah kelab, bertanding dalam lima acara iaitu futsal, bola jaring, ragbi sentuh, mini-golf.

Penyelaras aktiviti Karnival Kokurikulum, Puan Sarimah berkata, “Tujuan utama karnival ini diadakan adalah untuk menyatukan semua pelajar melalui program kesukanan. Saya melihat kebanyakan pelajar hanya bergaul sesama mereka atau pun rakan-rakan sefakulti sahaja, jadi saya berharap melalui karnival ini, mereka boleh berkenalan dengan para pelajar dari fakulti yang berlainan.

“Mereka bebas untuk menyertai mana-mana acara yang dipertandingkan. Sebagai contoh, pelajar yang memilih kokurikulum renang boleh menyertai pertandingan bola jaring atau pun sebaliknya. Mereka berhak memilih sukan mana yang diminati,” tambah beliau mengulas mengenai acara-acara yang dipertandingkan.

“Program ini juga khusus untuk menarik minat mana-mana pelajar yang tidak aktif dalam bersukan. Jadi, apabila aktiviti ini diwajibkan ke atas mereka, secara tidak langsung mereka akan turut serta dalam acara yang dipertandingkan,” katanya lagi.

Ternyata hujan tidak dapat menghalang kehadiran pelajar untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Sheikh Khalis dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur ketika ditanya memberitahu, “Walaupun saya menyertai aktiviti ini kerana diwajibkan bagi mereka yang mengambil kokurikulum sukan, namun saya berpendapat bahawa aktiviti seperti ini memang bagus dan seharusnya dijalankan sekurang-kurangnya sebulan sekali.”

“Tambahan pula, saya berpeluang mengenali rakan-rakan baru dari fakulti lain,” katanya lagi.

Mohammad Zakir dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik turut bersetuju dengan program anjuran Pusat Sukan ini.

Namun, beliau merasakan setiap permainan haruslah dijalankan dalam format liga supaya setiap pasukan yang bertanding dapat bermain dengan puas dan berpeluang menunjukkan kehebatan dan kemahiran masing-masing.

Mengulas lanjut, Puan Sarimah turut memuji inisiatif Pusat Sukan yang berusaha keras dalam memartabatkan sukan dan sentiasa menganjurkan program-program kesukanan untuk pelajar-pelajar UiTM dan beliau turut menyeru agar semua pelajar sentiasa menyertai segala jenis aktiviti yang dijalankan oleh Pusat Sukan.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger