Home » , » Aplikasi telefon pintar untuk tangani jenayah

Aplikasi telefon pintar untuk tangani jenayah

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday, 25 April 2012 | 25.4.12

Gambar hiasan


SHAH ALAM - Mudah, cekap dan tepat, cara terbaru menangani jenayah oleh orang ramai terutamanya pelajar dalam mendapatkan bantuan pihak polis dengan hanya menekan butang di telefon pintar melalui program baru yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor.

Aplikasi telefon pintar yang dinamakan MyDistress ini merupakan satu inisiatif baru oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor dalam membantu orang ramai melindungi diri dari jenayah hasil gabungan telefon pintar dan aplikasi pintar.

PDRM Selangor yang merupakan pelopor teknologi pintar ini telah menghasilkan satu penyelesaian jenayah yang efektif dengan melancarkan MyDistress pada 24 Ogos 2011 dan perkhidmatan ini adalah usaha terbaru pihak polis bagi meningkatkan lagi keselamatan orang awam di negeri Selangor.

MyDistress, merupakan aplikasi di mana orang ramai terutamanya pelajar boleh memuat turun aplikasi ini ke dalam telefon pintar dan secara automatik memberi isyarat terus kepada polis jika berlaku kecemasan.

Teknologi yang menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) dalam setiap telefon pintar membolehkan mangsa jenayah atau yang terlibat dikesan lokasi mereka oleh polis secara lebih tepat dan berkesan untuk memberikan bantuan sekiranya berlaku jenayah atau kecemasan.

Melalui langganan sebanyak RM2 sebulan, pengguna hanya perlu menekan butang “HELP” di skrin telefon sewaktu kecemasan bagi membenarkan isyarat kecemasan dihantar terus ke ibu pejabat polis daerah yang berdekatan bagi membolehkan lokasi mangsa dikesan melalui sistem monitor pihak polis sebelum bantuan polis dihantar segera kepada mangsa.

Pegawai Gerakan, Inspektor Bohari Ehsan mewakili Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/ Ketua Trafik Daerah Shah Alam, DSP Ruslan Abdullah berkata, kontinjen Selangor merupakan kontinjen pertama yang menggunakan teknologi ini dan berharap agar kes-kes jenayah yang melibatkan orang ramai termasuklah pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi mahupun peringkat sekolah dapat dikurangkan semaksimumnya.

Menurut beliau, MyDistress adalah aplikasi berguna memandangkan pada masa kini kebanyakan pengguna telefon di Malaysia terutamanya pelajar-pelajar semakin ramai menggunakan telefon pintar dalam urusan seharian dan banyak membantu mereka terutama sekiranya gagal menghubungi pihak polis jika berada dalam keadaan kecemasan.

“MyDistress hanya boleh di muat turun ke dalam telefon pintar seperti Android, Blackberry, iPhone dan Java serta memerlukan aplikasi GPS atau internet dan pelajar-pelajar amat digalakkan mendaftar," sarannya.

Tambah beliau lagi, untuk mendaftar sebagai pengguna, pelajar dan orang ramai boleh memuat turun aplikasi ini dari http: //mydistress.net dimana melalui laman ini pengguna akan diajar cara untuk menggunakan MyDistress dengan selanjutnya.



Wartawan: Rabitah Hamdan
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger