Home » , » Remaja kecundang akhlak kerana khalwat

Remaja kecundang akhlak kerana khalwat

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday 16 May 2012 | 16.5.12

Sekadar gambar hiasan

Sememangnya menjadi fitrah anak remaja mempunyai naluri ingin mencuba sesuatu. Namun ramai diantara mereka yang hanya mahukan keseronokan sehingga hanyut dalam kehidupan yang tidak menjanjikan apa-apa masa depan kepada mereka.

Jika dilihat dengan mata kasar kejayaan pembangunan negara yang ada hari ini, biasanya diiringi dengan pelbagai gejala sosial yang memeningkan kepala. Makin maju negara kita ini hari ini, begitu jugalah ‘maju’ gejala sosial yang berlaku.

Gejala sosial merupakan satu kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja jugalah, seseorang itu akan berdepan dengan satu siri krisis identiti iaitu pembentukan dan pengembangan identiti diri.

Kegagalan untuk mengatasi cabaran itu membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan yang membolehkan mereka terjebak dengan masalah sosial. Kepincangan hidup remaja sekarang seperti berkhalwat sehinggakan timbulnya kes-kes pembuangan bayi jelas menunjukkan gejala sosial semakin berleluasa.


Statistik dan punca 

Menurut Noorasnita Makhtar, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), statistik kes berkhalwat di sekitar Selangor adalah sebanyak 1674 kes pada tahun 2011 dan sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 1546 kes.

Sedih bila melihatkan peningkatan angka tersebut seolah-olah bakal pewaris negara pada hari ini mudah kecundang dek akhlak serta akidah yang tidak bermaruah. Mungkin kerana tiada sesiapa menyekat, memerhatikan perilaku dan gerak-geri mereka seharian, menjadikan remaja semakin lupa diri.

Paling membimbangkan kes berkhawat yang melibatkan remaja ini mula dipandang remeh orang sesetengah masyarakat menunjukkan seolah-olah mereka sudah hilang pegangan agama.

“JAIS akan menjalankan serbuan hanya apabila kita mendapat aduan atau maklumat dan seterusnya siasatan akan dijalankan. Disinilah keprihatinan orang ramai adalah titik utama untuk membantu kami membanteras gejala berkhalwat ini," jelas Noorasnita.

Kewujudan hotel-hotel bajet dan rumah-rumah sewa juga menjadi sebab utama remaja terlibat dalam kes berkhalwat ini dan lazimnya alasan yang akan diberikan adalah sedang melakukan kerja berkumpulan. Sebagai remaja, mereka seharusnya menggunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa dengan cara yang betul dan bukannya mengambil peluang negatif untuk merosakkan diri. 


Langkah penyelesaian 

Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk mengatasi masalah sosial yang dihadapi remaja. Ini kerana remaja merupakan satu kumpulan individu yang kompleks. Sebahagian masalah yang dihadapi mereka juga adalah sebenarnya merupakan masalah sosial yang dihadapi orang dewasa.

Namun, dalam mengatasi kes berkhalwat ini, ibu bapa sebagai pendidik paling awal dalam kehidupan seseorang remaja perlu memainkan peranan penting lebih-lebih lagi pengaruh negatif pada masa kini datang begitu meluas dari pelbagai medium. Didikan awal yang diberikan oleh keluarga di rumah perlu menjadi panduan yang berguna kepada anak kecil sehinggalah mereka meningkat remaja seterusnya dewasa.

Didikan awal yang berkesan mampu menjadi benteng kepada seseorang remaja untuk mengawal diri daripada terpengaruh dengan anasir yang bertentangan dengan budaya dan agama sepanjang masa. Pihak JAIS sendiri ada juga melakukan rondaan setiap hari bagi membendung kes berkhalwat ini dan pada setiap malam hari bersempena seperti tahun baru, ambang merdeka dan hari kekasih, operasi besar-besaran akan dijalankan.

“Kami mengharapkan dengan adanya rondaan dan operasi seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada remaja dan sekaligus menangkis sedikit demi sedikit kes khalwat ini," tambah Noorasnita.

Selalunya kawan dipercayai mempunyai pengaruh utama dalam kehidupan seharian remaja. Jadi pemilihan kawan juga adalah sangat penting dalam mengawal permasalahan sosial yang berleluasa.

Remaja sebenarnya perlu mengawal perasaan mereka dan jangan terlalu mengikut kelakuan rakan-rakan yang kurang elok supaya tidak terjerumus ke kancah yang kurang menyihatkan. Jelas sekali semua situasi itu bergantung kepada diri sendiri kerana jika tidak kuat melawan godaan dan menangkis diri sendiri maka akan kecundanglah seseorang itu.

Pokok pangkalnya, semuanya terpulang kepada diri remaja itu sendiri untuk tidak sampai ke tahap serius akibat keruntuhan moral yang ketara. Tepuk dada, tanya selera.

Ditangkap khalwat di sebuah rumah sewa






Wartawan: Siti Baaqiah Mamat
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger