Home » » Media Massa Perlu Terus Sebar Mesej Antirasuah - Rais

Media Massa Perlu Terus Sebar Mesej Antirasuah - Rais

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday, 23 November 2011 | 23.11.11

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta media massa terus memainkan peranan dalam menyebarkan mesej antirasuah kepada masyarakat.

Beliau berkata bagi tujuan itu, stesen televisyen dan radio nasional, RTM, akan mempelbagaikan isian dalam siaran mereka sama ada melalui program televisyen, drama, telemovie dan sebagainya.

"Mesej-Mesej antirasuah ini hendaklah ditujukan kepada murid sekolah, orang kampung, pemimpin jabatan, politik dan lain-lain," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pengumuman Khidmat Awam (PSA) AntiRasuah dan Malam Penghargaan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Rais berkata mesej antirasuah mesti pendek dan padat agar lebih berkesan, dan beliau mencadangkan agar media massa menggunakan ungkapan menarik tokoh negara mahupun selebriti bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Biro Putrajaya New Straits Times Farrah Naz Karim memenangi Anugerah Wartawan Terbaik manakala Utusan Malaysia dinobatkan Agensi Media Terbaik dalam membuat liputan dan memberi sumbangan positif terhadap usaha memerangi rasuah serta menaikkan imej dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis Suhana Mohd Nor diumum pemenang tempat pertama Pertandingan Video PSA AntiRasuah manakala Noor Syazwani Hillmy dari Universiti Teknologi MARA (kedua) dan Izzad Amir Abdul Karim dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (ketiga).

Mereka antara 14 peserta dari 10 institusi pengajian tinggi seluruh negara yang menyertai pertandingan bertemakan 'Corruption is About Harm' yang diadakan pada 13 Julai hingga 15 Okt lepas.

-- BERNAMA
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger