Home » » Hijab: Tuntutan atau trend?

Hijab: Tuntutan atau trend?

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 14 June 2012 | 14.6.12


Kini kita dapat lihat semakin ramai kaum wanita membuat keputusan untuk berhijrah. Berhijrah di sini bukanlah bermaksud berpindah tetapi berhijrah kearah berhijab. Kewujudan ikon yang berhijab seperti Hana Tajima, seorang pereka fesyen terkenal, Yunalis Zarai, penyanyi dan juga duta bagi beberapa jenama terkenal, Diana Amir, pelakon dan ramai lagi ikon tanah air turut menyumbang bagi penghijrahan ini.

Dengan kewujudan ikon-ikon ini, semakin banyak fesyen bagi mereka yang berhijab diperagakan. Namun satu persoalan kini kian dipertanyakan. Adakah peningkatan wanita memakai hijab kerana tuntutan atau sekadar mengikut trend atau ikon kesukaan mereka?

Peningkatan pendedahan fesyen bagi mereka yang memakai hijab adalah satu perkara yang bagus. Hal ini kerana bagi wanita yang memakai hijab, mereka tidak perlu risau tentang pilihan pakaian mereka akan menjadi terhad.

Menurut Ustaz Haslin Baharim dalam salah satu ceramah beliau, mereka yang bergiat dalam industri fesyen telah memperkenalkan tudung sebagai salah satu cara untuk bergaya.

“Penyampaian dan gaya kreatif industri fesyen dalam menjual tudung itu sebenarnya amat baik. Tidak kiralah apa cara mereka lakukan, niat sebenar mereka adalah untuk menarik minat wanita untuk bertudung. Jika ada wanita yang bertudung kerana fesyen itu menarik, maka tidak salah mereka mula mengambil keputusan untuk bertudung. Mungkin daripada mengikut-ikut, akhirnya seseorang wanita itu sudah pasti akan berubah sepenuhnya.

“Jika ini berlaku, secara tidak langsung industri fesyen juga telah melakukan kebaikan kerana telah menarik minat wanita yang tidak bertudung akhirnya menutup aurat seperti yang digalakkan dalam Islam,” demikian ulasnya lagi.

Namun bagi wanita yang sudah pun berhijab atau mahu berhijab, mereka perlu memakainya dengan niat untuk mengikut syariat Islam dan bukan sekadar mengikut aliran fesyen. Wanita harus ingat, selain dari sebati dengan kecantikan wanita juga harus sebati dengan kesederhanaan.

“Tidak mengapa jika wanita ingin memakai hijab tetapi mengikut fesyen pada masa yang sama. Asalkan mereka bersikap sederhana dan mengikut tuntutan syarak. Terpulang kepada mereka nak pakai tudung berlilit, turban atau apa cara sekalipun, yang penting mereka bukan sekadar menutup rambut,” kata Nur Hanani Hassan, pelajar Fakulti Pendidikan.

Persoalan yang ingin ditanya kepada kaum wanita adalah memakai hijab ini ada tuntutan ataupun trend? Niat di hati yang kita yang tahu. Oleh itu, tepuk dada tanya selera. Semoga perbuatan dan niat kita tidak terpesong dari apa yang dituntut.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger