Home » » Papan luncur cinta baru pelajar lasak

Papan luncur cinta baru pelajar lasak

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 27 October 2011 | 27.10.11



SHAH ALAM – Papan luncur di kalangan remaja yang sukakan cabaran, lasak dan semangat mencuba sesuatu yang baru bukanlah sesuatu yang janggal atau susah diterima masyarakat.
Mohd Afi, 19, berkata permulaannya untuk mencuba sukan ini adalah sekadar suka-suka dan pengaruh daripada rakan-rakan sebayanya.


“Mula-mula memanglah saya rasa takut, bimbang kalau-kalau patah tulang, luka teruk. Tetapi, disebabkan minat yang mendalam dan rasa tercabar dengan diri sendiri, saya cuba juga. Saya mula bermain papan luncur ni sejak sekolah menengah lagi, tetapi pada masa itu bukanlah secara serius.”



“Selalunya saya akan bermain papan luncur ini di Extreme Park, Seksyen 13 di sini lah. Biasanya hujung minggu. Kadang-kadang saya dan kawan-kawan bermain di kawasan berhampiran dengan kolej kami,” tambah Mohd Zamrin, 19.

Difahamkan selain di Shah Alam, tempat lain yang menjadi tumpuan untuk berpapan luncur adalah di Kampung Batu, Putrajaya serta Mont Kiara di mana tempatnya lebih besar, selesa dan berbumbung.

Bagi Mohd Nur Adha,19, aspek-aspek keselamatan perlu dititikberatkan ketika bermain, seperti pemakaian topi keledar, lapik di siku dan lutut serta pemilihan kasut yang sesuai adalah penting untuk mengelakkan jatuh ketika beraksi serta luka yang teruk.

“Setakat jatuh-jatuh itu biasalah. Amaturlah katakan. Alah bisa tegal biasa. Jatuh ketika berlatih itu adalah perkara biasa. Memanglah sakit, tetapi sebab saya minat, saya tidak kisah semua itu,” tambah rakan mereka, Mohd Syukur bin Azmi,19 yang turut meminati sukan itu.



Bertanyakan soal kos yang dibelanjakan untuk membeli papan luncur dan aksesori yang lain, mereka tidak menafikan sukan ini memerlukan kos yang tinggi, tetapi semua alatannya dapat dipakai dalam jangka masa yang lama.

“Biasanya kami bermain papan luncur ini dalam masa 3 hingga 4 jam seminggu. Permainan papan luncur ini, kalau kita jarang main, nanti kita lupa cara-cara (skill) nak main. Permainan ini tidaklah perlu habiskan masa banyak sangat, tetapi kenalah selalu berlatih. Sebab itu kami tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa untuk belajar dan berpapan luncur,” jelas Mohd Fatihah bin Rostam, sambil menunjukkan langkah asas untuk seseorang yang mahu mula bermain.



“Pada saya, kepada rakan-rakan yang berminat untuk mencuba permainan ini, kena cekal. Sakit itu mula-mula saja, kemudian dah biasa. Macam kami sekarang ini,” kata Afi.
Sukan lasak yang kini giat diminati oleh remaja, papan luncur atau Skateboard bukanlah sukan asing lagi walaupun pada awalnya sukan ini melebar secara meluas di daerah California, Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1950.

Pengenalan papan luncur ini adalah melalui filem Back To The Future, di mana watak utama filem itu, Marty McFly menggunakan papan luncur ini sebagai medium pengangkutannya.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger