Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/10/06
BARU-BARU ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengingatkan universiti tempatan supaya tidak terlalu taksub dengan sistem ranking universiti dunia, sebaliknya terus berusaha memenuhi sasaran penubuhannya dengan menumpukan perhatian kepada keperluan pelajar, rakyat dan kerajaan. Ikuti wawancara wartawan Varsiti, Mohd Azrone Sarabatin bersama bekas anggota Lembaga Penasihat Pertubuhan Ranking Universiti Dunia (QS World University Ranking ), Prof Datuk Dr Hashim Yaacob yang menyokong peringatan berkenaan.S Apa pandangan Prof terhadap kenyataan Mohamed Khaled supaya universiti di negara kita tidak taksub mengejar ranking universiti dunia?
Generasi muda adalah sumber modal insan penting yang dilahirkan menerusi universiti. Graduan kemudian menjadi tenaga profesional dan mahir negara dalam pelbagai bidang meliputi pendidikan, perubatan, ekonomi, sains dan teknologi.
Ketaksuban mengejar ranking sehingga mengabaikan sasaran penubuhan universiti untuk memajukan pelajar dan rakyat menerusi pendidikan gagal dicapai yang akhirnya akan merugikan negara.
Ini kerana pelajar sukar melanjutkan pengajian ke universiti berikutan syarat kemasukan yang mengutamakan pelajar genius bagi mengelak ranking dunia institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit tergugat.
Peruntukan besar juga amat diperlukan untuk program penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi berimpak tinggi bagi mencapai ranking yang baik. Justeru, sekiranya peruntukan hanya tertumpu kepada program berkenaan sehingga mengabaikan program modal insan, ini akan merugikan sesebuah negara.
S Apa kriteria penilaian ranking universiti dunia?
J Satu daripada kriteria dalam penilaian sistem ranking adalah program R&D berimpak tinggi yang memerlukan peruntukan besar.
Selain peruntukan daripada pihak kerajaan dan korporat, universiti terbabit perlu berkemampuan menjana pendapatan sendiri yang kemudian digunakan untuk kegiatan R&D dan inovasi.
Penilaian ranking universiti juga dibuat berdasarkan aspek penyelidikan berimpak tinggi yang mendapat rujukan daripada pihak luar seperti dicapai Universiti Cambridge, Kolej Universiti London dan University Oxford di United Kingdom (UK) serta Universiti Harvard, Universiti Yale dan Institut Teknologi Massachusetts di Amerika Syarikat.
Universiti yang mengungguli top ranking dunia ini bukan saja mampu menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi, malah menjadi sumber rujukan universiti lain di seantero dunia.
S Apa sebenarnya peranan dimainkan oleh sesebuah universiti?
J Setiap negara seharusnya menumpukan kepada bidang pendidikan yang memfokuskan kepada keperluan memajukan negara berkenaan menerusi kepakaran golongan profesional dan ahli akademik di IPT.
Universiti yang ada dalam negara terbabit tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada ranking sehingga melupakan kepentingan sistem pendidikan yang memberi impak kepada kemajuan modal insan untuk memajukan negara.
IPT terbabit juga seharusnya tidak hanya menumpukan kepada akademik, sebaliknya mengambil kira aspek pembangunan kemahiran insaniah pelajar dengan memberi latihan kemahiran yang lebih banyak untuk memenuhi keperluan negara.
Keunggulan dalam bidang akademik yang ditambah dengan kemahiran insaniah menjadikan graduan universiti terbabit golongan yang mampu memberi sumbangan besar kepada negara.
S Sebagai Naib Canselor Kuala Lumpur Metropolitan Universiti (KLMU), adakah KLMU juga mengutamakan ranking dunia?
J Kami tidak mementingkan ranking, biarpun pada hakikatnya jika aspek itu diberi penilaian kami mempunyai ranking yang tinggi dalam kalangan IPT di negara ini. Kami mengutamakan program pengajian untuk melahirkan modal insan berkualiti untuk rakyat dan negara.
KLMU sebenarnya adalah sebuah IPT swasta yang menjadi pilihan pelajar bukan saja di seluruh negara, malah dari luar negara berikutan kualiti pengajian serta pensyarah dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Kami juga memiliki fasiliti dan penyelidikan kelas dunia yang dengan sendirinya melahirkan graduan yang mampu mengisi kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang iaitu perniagaan dan pengurusan, hospitaliti dan pelancongan, kejuruteraan dan teknologi maklumat, pengajian media, sains kesihatan, seni lukis dan seni reka dan persekitaran binaan.
Kami sudah dikenali di peringkat antarabangsa sebagai institusi pendidikan yang mengutamakan pembelajaran, perindustrian, penyelidikan latihan, sosial dan tugas sivik.
S Selain pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat QS World University Ranking, apa jawatan lain yang pernah dipegang oleh Prof untuk membantu memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara?
J Saya pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada 2003 hingga 2006, Timbalan Naib Canselor UM (2001 hingga 2003) dan Dekan Fakulti Pergigian universiti awam itu (1987 hingga 1989 dan 1993 hingga 2003).
Selain itu, pernah menjadi Naib Canselor International University College of Nursing Malaysia (2008 hingga 2011) sebelum dilantik menjadi Naib Canselor KLMU, pada tahun ini.
Saya juga menjadi Felo Royal College of Surgeon of England dan Felo Royal College of Physician and Surgeons of Glasgow di UK, Felo Yayasan di Fakulti Patologi Oral di The Royal College of Pathologist of Australasia dan Felo Akademi Sains Malaysia.
Bidang pengajian tinggi negara sebenarnya sudah mencapai tahap yang membanggakan sehingga saban hari banyak R&D berimpak tinggi dicipta oleh saintis, penyelidik, pensyarah dan pelajar kita. -BERITA HARIAN
0 comments:
Post a Comment