Home » » Komuniti pangsapuri abai kebersihan

Komuniti pangsapuri abai kebersihan

Written By Jurnalis Shah Alam on Sunday, 20 November 2011 | 20.11.11

SHAH ALAM – Kawasan persekitaran kotor, bau yang tidak menyenangkan serta beberapa tempat air bertakung punca nyamuk Aedes membiak sudah cukup untuk menggambarkan tahap kebersihan di Pangsapuri Nilam Sari.

Nurshakira, 19, salah seorang penduduk di salah sebuah blok di pangsapuri itu mengatakan pernah ada pergaduhan pada beberapa bulan sebelum ini pada lewat tengah malam.
Pergaduhan yang berlaku itu adalah di antara dua kumpulan berkemungkinan disebabkan mabuk, tetapi tiada pertumpahan darah yang berlaku.

Ditanya mengenai isu denggi yang mungkin berpunca daripada beberapa takungan air, beliau tidak pasti akan perkara itu.

Beliau menambah, “Dahulu kerap juga aktiviti ‘foging’ dilakukan, tetapi sekarang sudah tiada.”
Faiz Musa, 25, memberitahu bahawa pada waktu malam, terdapat bunyi bising di bawah blok seperti muzik dan ketawa yang kuat.

“Waktu malam biasanya ada penduduk yang mabuk, dan botol-botol arak bersepah di parkir motorsikal,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Shaharizan, 27, yang tinggal di blok yang berlainan, turut memberi respon yang sama berkaitan kebersihan.

“Isu kebersihan di sini pada tahap biasa sahaja. Tetapi, apa yang boleh dibanggakan ialah di sini mempunyai hubungan komuniti yang erat. Setakat ini tiada lagi hal-hal seperti pecah rumah atau ragut berlaku, kerana ade RELA yang meronda,” kata beliau.

Kebanyakan penyewa di blok itu adalah daripada golongan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan golongan yang belum berkahwin.

Difahamkan, masalah sosial remaja juga seperti bersekedudukan atau remaja liar bukan menjadi isu yang besar di pangsapuri itu.

“Dulu pernah ada kejadian tangkap khalwat sebab di blok saya tinggal ini ada pemerhati. Mungkin pemerhati itu salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa blok. Selepas insiden itu, tiada lagi isu-isu seperti itu yang saya dengar,” tambah beliau.

Setiap blok di situ dilengkapi dengan surau, tempat pembuangan sampah, serta bilik Pihak Pengurusan Blok.

Walau bagaimanapun, keterangan daripada pihak pengurusan tidak dapat diambil memandangkan bilik itu berkunci, berkemungkinan ia tidak beroperasi semasa temu bual dijalankan.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger