Home » » Mahasiswa Tak Perlu Terima Bulat-bulat Isu Yang Disogokkan, Kata Adnan Yaakob

Mahasiswa Tak Perlu Terima Bulat-bulat Isu Yang Disogokkan, Kata Adnan Yaakob

Written By Jurnalis Shah Alam on Friday, 25 November 2011 | 25.11.11

BENTONG, 25 Nov (Bernama) -- Golongan mahasiswa di negara ini perlu lebih rasional dan berfikiran terbuka, serta tidak menerima bulat-bulat apa juga isu yang disogokkan kepada mereka.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata mereka juga tidak seharusnya berfikiran terlalu kritikal, sebaliknya perlu membuat pertimbangan wajar dalam semua isu dan perkara yang dilambakkan pelbagai pihak ketika ini.

"Adakalanya kita boleh berfikiran kritikal jika sesuatu masalah itu berat, tetapi dengan berfikiran rasional dan terbuka ianya akan lebih baik," katanya berucap merasmikan program khidmat masyarakat anjuran mahasiswa Universiti Institut Teknologi Mara dan Yayasan Bank Rakyat di Simpang Pelangai, dekat sini Jumaat.

Adnan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai berkata mahasiswa perlu mendedahkan diri mereka dalam kegiatan kemasyarakatan kerana langkah itu akan membolehkan mereka lebih memahami isu dan permasalahan rakyat ketika ini.

Mengenai langkah kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik, Adnan berharap perkara berkenaan tidak akan menjejaskan pelajaran serta pengajian mereka.

"Berpolitik secara melampau sehingga lupa diri dan kritikal bukan sahaja menjejaskan pelajaran dan pengajian malah akan menjejaskan masa depan," katanya.



-- BERNAMA
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger