Mohd. Israr Khalid membangkang usul daripada pencadang pada program Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam anjuran Utusan di UiTM Shah Alam, semalam. – UTUSAN/Mohd. Azim Abd. RahmanPresiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam), Syamsul Amri Ismail, 33, berkata, penganjuran Debat 211 Jam yang merupakan kesinambungan program debat yang pernah dianjurkan sebelum ini mempunyai banyak manfaat dan kesan baiknya kepada pelajar serta pihak penganjur.
"Ini merupakan suatu peluang kepada para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk menyatakan hujah dan menyuarakan pendapat melalui saluran yang mampu didengar oleh orang ramai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, program seperti ini perlu diteruskan bagi melahirkan generasi pelajar dan masyarakat yang peka serta mempunyai sifat mengambil tahu tentang isu-isu semasa.
"Selain itu, penganjuran program seperti ini juga dilihat sebagai landasan tepat dalam usaha pihak universiti untuk melahirkan pemimpin muda berfikiran kritikal, analitikal dan kreatif yang semakin kurang di institusi pengajian tinggi pada masa kini," jelasnya.
Sementara itu, pelajar Fakulti Pendidikan UiTM, Lina Zainal, 24, pula memberitahu, usaha penganjuran debat ini perlu diteruskan lagi pada masa hadapan dalam usaha meningkatkan keyakinan pelajar selain menambahkan minat mereka terhadap program debat.
"Ia juga mampu membuktikan persepsi baru bahawa debat itu bukan semata-mata bertikam lidah, menyokong pendirian sendiri dan mematahkan usul pihak lawan tetapi merupakan landasan untuk menyuarakan pendapat yang penuh fakta dan bermaklumat," katanya. -Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment