NAJIB Tun Razak bersama sebahagian daripada 10,000 mahasiswa pada majlis pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan amanat Perdana Menteri di UiTM Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 21 Mac - Kira-kira 10,000 mahasiswa dari hampir 30 institusi pengajian tinggi awam dan swasta memeriahkan majlis pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan amanat Perdana Menteri di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) di sini malam ini.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira pukul 9 malam disambut dengan penuh gemilang serta laungan 1Malaysia, Kami sayang PM dan Terima kasih PM di sepanjang jalan di sekitar universiti itu oleh para penuntut yang mewakili pelbagai persatuan dan fakulti masing-masing.
Kemeriahan itu berterusan sehingga ke dalam dewan apabila kira-kira 5,000 mahasiswa bersorak sepanjang ucapan beliau.
Keadaan di luar DATC juga gamat dengan tepukan gemuruh oleh kira-kira 5,000 lagi penuntut yang tidak berpeluang masuk ke dalam dewan. Acara tersebut turut dimeriahkan lagi dengan dendangan lagu oleh orkestra UiTM yang berpakaian serba putih di sebelah kiri dewan dan diselang-seli dengan nyanyian koir daripada penuntut Universiti Lim Kok Wing.
Turut dimuatkan dalam majlis tersebut adalah penyampaian watikah pelantikan kepada Penasihat Kehormat Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), Datuk Zuraidah Atan sebagai Pengerusi YSS dan diikuti dengan pelantikan 82 Duta Universiti di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 5 Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada akhir majlis tersebut, Perdana Menteri turut berkesempatan mendampingi para penuntut dan kepimpinan universiti seluruh negara dalam sesi jamuan teh tarik.
Rata-rata mahasiswa yang ditemui melahirkan perasaan teruja mereka kerana dapat bertemu pemimpin nombor satu negara itu.
Seorang mahasiswa, Akmal Ezzah Amin Nudin, 22, berkata, sokongan mahasiswa terhadap aspirasi kerajaan tidak pernah luntur apatah lagi golongan itu tidak pernah dipinggirkan.
Akmal Ezzah yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu berkata, ia dibuktikan apabila kerajaan telah menunaikan janjinya dengan memberi Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebanyak RM200 kepada setiap mahasiswa yang sedikit-sebanyak telah meringankan beban mereka.
"Bantuan wang tunai itu banyak meringankan beban kami dan ini membuktikan yang kerajaan prihatin serta mendengar masalah kami.
"Ini juga membuktikan yang kerajaan menunaikan setiap janjinya dan bukan sekadar menabur janji kosong," katanya.
Muhammad Faris Samsir, 19, pula berkata, mahasiswa perlu bersatu dalam menyokong aspirasi kerajaan supaya segala hasrat murni pemimpin negara dapat disampaikan dengan baik.
"Suka ataupun tidak, kita perlu akui bahawa Perdana Menteri adalah pemimpin yang dipilih rakyat di negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini.
"Justeru, setiap apa dasar yang diperkenalkan oleh beliau perlu sentiasa disokong supaya ia dapat disampaikan dengan baik," katanya yang merupakan penuntut Diploma Pengajian Sukan di UiTM.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Inggeris di UiTM, Nur Hannah Rashidi, 21, berkata, mahasiswa tidak seharusnya membenarkan mereka dipengaruhi oleh pihak luar yang cuba memecahbelahkan mahasiswa di kampus.
"Para mahasiswa perlu lebih fokus untuk menuntut ilmu dan bukannya untuk berpolitik ataupun terlibat dengan aktiviti luar yang tidak berfaedah," ujarnya.
-Utusan

0 comments:
Post a Comment