Home » » Bunyi bising ganggu penghuni pusat komersial seksyen 7

Bunyi bising ganggu penghuni pusat komersial seksyen 7

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


Disebalik kegembiraan rakyat Malaysia meraikan kemenangan pasukan Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir piala AFF Suzuki baru-baru ini, timbul pula masalah lain apabila terdapat segelintir penduduk di pusat komersial seksyen 7 melahirkan rasa tidak puas hati disebabkan bunyi bising penonton dari kedai makan berhampiran yang berteriak sepanjang perlawanan bola sepak berlangsung.

Perkara ini diakui sendiri oleh Hakimah Haimi, 23, pelajar tahun akhir Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang sudah hampir setahun lebih menetap di pusat komersial seksyen 7.

Menurutnya lagi, setiap kali tiba musim bola, dia serta penghuni yang lain terpaksa menadah telinga mendengar bunyi bising peminat bola sepak yang datang menonton bola di kedai makan berhampiran.

"Hendak tidur pun susah, ini kan pula hendak belajar. Memang kami di sini rasa terganggu dengan bunyi bising di sini terutama sekali bila tiba musim bola. Rasa tertekan juga sebenarnya sebab kadang-kadang bila ada test atau kuiz, kami tidak dapat belajar dengan tenteram disebabkan jeritan mereka," katanya.

Tambah Hakimah lagi, masalah bunyi bising ini dilihat bagaikan tiada kesudahan dan semakin membebankan penghuni lebih-lebih lagi kerana terdapat banyak kedai motor yang terletak berhampiran rumah.

"Bunyi bising tersebut datang setiap kali mereka hendak membaiki motor yang rosak. Biasanya bunyi bising tersebut berlanjutan hingga ke waktu maghrib," katanya.

Menurut Hakimah, tiada apa yang dapat dibuat untuk menghentikan masalah tersebut.
"Hendak mengadu pun tetapi kami sendiri tidak tahu hendak mengadu pada siapa. Terpaksalah...siang bunyi motor, malam bunyi orang menjerit gol pula," tambahnya lagi.

Masalah yang sama turut menimpa rakannya yang juga tinggal di kawasan tersebut. Menurut Noor Shazarwanie Ahmad, 23, walaupun tidak tinggal serumah tetapi dia juga terpaksa berdepan dengan masalah yang sama seperti rakannya itu.

"Kami berdua tidak duduk serumah, tetapi setiap kali tiba musim bola saya terpaksa juga mendengar bunyi bising sebab ada kedai makan berhampiran rumah.

"Walaupun baru enam bulan tinggal di sini, saya dah rasa tertekan sangat sebab terlalu bising. Pernah beberapa kali jugalah saya terjaga pukul 3-4 pagi sebab bising sangat," katanya lagi.

Berbeza pula dengan Wan Nur Sakinah Mohamed Zaki, 19, pelajar tahun pertama fakulti Sains Kesihatan yang sedikit pun tidak berasa terganggu dengan bunyi bising tersebut.

"Sudah hampir setahun saya tinggal di sini. Mungkin sebab dah biasa dengan keadaan bising di sini, jadi bila tiba sahaja musim bola, saya dan rakan serumah tidak ada rasa terganggu pun," katanya.

Menurut Sakinah lagi, bunyi bising tersebut sebenarnya dapat dikurangkan jika penghuni menutup tingkap rumah mereka.

"Biasanya kalau kami tutup tingkap rumah, memang tidak akan dengar sangat bunyi bising di luar. Jadi kalau ada penghuni yang terganggu dengan bunyi bising tersebut, mereka boleh tutup sedikit tingkap rumah mereka bagi mengurangkan bunyi bising tersebut," tambahnya lagi.

Menurut Sakinah, yang menjadi masalah utama apabila tiba sahaja musim bola ialah masalah parking.

"Bila dah ramai sangat yang datang sini, mulalah susah nak cari parking. Kadang-kadang kami perlu parking kereta jauh sedikit dari rumah dan terpaksalah jalan kaki untuk balik ke rumah," katanya.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger