Home » » Curi kenderaan jenayah paling popular

Curi kenderaan jenayah paling popular

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


Kes curi kenderaan dilaporkan menjadi penyumbang terbesar kepada kadar jenayah di Shah Alam diikuti dengan kes pecah rumah, samun dan pergaduhan.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Shah Alam, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhammad Idzam Jaafar, kebanyakan kes curi kenderaan yang dilaporkan kepada pihak polis adalah melibatkan motosikal.

"Kes curi motosikal adalah yang paling banyak dilaporkan setakat ini terutamanya motosikal jenis Honda EX5 manakala jumlah kes kecurian yang melibatkan kenderaan lain seperti kereta dan lori adalah sedikit," katanya.

Menurut beliau, statistik juga menunjukkan bilangan kes curi kenderaan yang paling tinggi dilaporkan berlaku di kawasan luar bandar berbanding di kawasan bandar. Keadaan persekitaran yang sedikit sunyi dan tidak ramai orang dipercayai menjadi penyebab utama penjenayah memilih melakukan aktiviti jenayah mereka di kawasan tersebut.

Tambah Idzam lagi, berdasarkan siasatan yang telah dibuat kebanyakan kes curi motosikal yang berlaku di sekitar Shah Alam dilakukan oleh golongan remaja yang berumur antara 15 hingga 25 tahun yang biasanya bergerak secara berkumpulan.

"Polis telah pun mengenal pasti kumpulan yang terlibat dan modus operandi (MO) yang digunakan dan kini pihak kami sedang berusaha untuk menjejaki kumpulan terbabit," katanya.

Idzam juga dalam masa yang sama meminta semua pemilik kenderaan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan mereka terutamanya pada tengah malam antara jam 12 hingga 6 pagi kerana waktu tersebut biasanya menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan aktiviti jenayah mereka disebabkan keadaan persekitaran yang sunyi dan tidak ramai orang.

Menurut Idzam, walaupun jumlah kes curi kenderaan yang dilaporkan pada tahun ini sedikit membimbangkan, namun keseluruhan indeks jenayah di Shah Alam menunjukkan penurunan sebanyak 13.2% iaitu daripada 3410 kes yang dilaporkan pada tahun lalu kepada hanya 2959 kes sahaja setakat 3 Disember pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1495 kes atau 50.5% daripadanya telah berjaya diselesaikan dan sebanyak 25.4% daripadanya telah berjaya didakwa di mahkamah setelah tangkapan dibuat.

Polis bagaimanapun mengingatkan orang ramai agar tidak leka dan sentiasa berhati-hati memandangkan jenayah jalanan seperti kes samun dan ragut menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 335 kes yang dilaporkan setakat 3 Disember pada tahun ini berbanding hanya 327 kes pada tahun lepas.

Selain daripada itu, Idzam juga ingin mengingatkan kepada semua penduduk di Selangor mengenai satu sistem yang telah dilaksanakan oleh pihak polis Selangor hampir setahun yang lalu dikenali sebagai "distress call".

Sistem ini membolehkan pengguna telefon pintar atau smart phone yang telah mendaftar untuk berhubung terus dengan pihak polis sekiranya berlaku sebarang kegiatan jenayah.

"Saya percaya masih ramai penduduk di Selangor yang tidak mengetahui akan sistem ini. Tetapi saya sangat berharap selepas ini mereka yang memiliki telefon pintar akan segera mendaftar kerana ia membolehkan pihak polis mengambil masa lebih kurang lima minit untuk bertindak sekiranya mereka menjadi mangsa jenayah," katanya.

Idzam juga menjelaskan perbezaan di antara distress call dengan talian kecemasan 999.

"Distress call hanya dilaksanakan di negeri Selangor sahaja. Melalui sistem ini, pengguna telefon pintar yang telah mendaftar tidak perlu menghubungi pihak polis.

"Mereka hanya perlu menekan punat telefon untuk memaklumkan kepada polis dimana kejadian jenayah tersebut berlaku sama ada di rumah, di pejabat atau di lokasi semasa mereka berada dan pihak polis akan tiba di tempat kejadian dalam masa lima minit sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil," ujarnya.

Menurut Idzam lagi, walaupun sistem ini baru setahun dilaksanakan, keberkesanannya dalam membantu pihak polis menurunkan kadar jenayah telah terbukti apabila indeks jenayah di Shah Alam menunjukkan penurunan setakat ini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web berikut di http://mydistress.net.

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger