Home » » 'Orang lama' tetap dihargai

'Orang lama' tetap dihargai

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12





Barisan sasterawan negara daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia  atau PENA telah diraikan pada ‘ Malam Deklamasi Sajak’ anjuran Kelab Bahasa Melayu dan  Budaya Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Shah Alam  dengan kerjasama PENA .

Antara wakil PENA yang hadir adalah seperti S.M. Zakir Syed Othman merangkap Setiausaha Agung PENA, Khalid Salleh, Rahimidin Zahari, Dr. Shamsudin Othman, Ahmad Sarju, Irmas Saring, dan ramai lagi. Majlis ini diadakan dengan objektif mengangkat  nama-nama lama yang terlebih dahulu berkecimpung dalam dunia sasterawan seterusnya menghargai jasa mereka dalam bidang ini. Mereka juga memainkan peranan penting sewaktu era pra-kemerdekaan dahulu dan juga bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam diri penuntut di institusi pengajian ini.

Majlis yang bertempat di ruang legar HEP ini mengambil konsep santai sambil berhibur dengan acara pertandingan  variasi deklamasi sajak oleh pelajar dari jurusan dan fakulti yang berbeza serta turut diselang-selikan dengan bacaan sajak oleh para sasterawan. Melalui majlis ini juga orang ramai diperkenalkan dengan sasterawan-sasterawan yang kurang dikenali dan mendapat lebih banyak informasi berkenaan latar belakang, pengalaman, serta jasa-jasa mereka terhadap anak-anak bangsa kita.

“ Saya sangat gembira kerana kami masih diingati dan diraikan oleh anak-anak Bumiputera kini meskipun kami sudah berada di usia emas dan kurang mendapat nama dalam kalangan masyarakat. Tetapi, saya amat berharap jasa dan pengorbanan kami selalu dihargai sama seperti pengasas PENA Allaryahram Usman Awang. Kami tidak minta untuk dipuja-puja, cukuplah sekadar dihormati dan sajak kami diperdengarkan kepada generasi akan datang” kata Ahmad Sarju, 80, salah seorang sasterawan wakil PENA.

Para pemenang bagi tiga tempat teratas membawa pulang sijil penyertaan berserta trofi kemenangan. Mereka ialah Nor Faaizah Bt Md Amran (Akademi Pengajian Bahasa (APB)), Mohammad Safwan Bin Mohd Yusof (Fakulti Perakaunan) dan  sekali lagi tempat ketiga jatuh kepada wakil APB iaitu Mohd Uzir Bin Zubir.

Semoga majlis seumpama ini lebih kerap diadakan di institusi pengajian tinggi di negara ini kerana ia bukan sahaja mampu membentuk lapisan muda yang bijak dalam proses penggunaan bahasa sastera, tetapi juga melahirkan masyarakat yang sentiasa bersyukur akan pengorbanan ‘orang lama’ ini tanpa mengira lapangan bidang yang diceburi.

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger