Home » » Padang Perindu Perlu Perhatian Segera! : Pusat Sukan UiTM

Padang Perindu Perlu Perhatian Segera! : Pusat Sukan UiTM

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


SHAH ALAM- Keadaan padang seperti padang jarak padang tekukur, kurangnya jumlah padang dan kelalaian pihak berwajib yang seakan-akan menutup mata dalam menjalankan tugas menaiktaraf padang-padang di UiTM ini menyumbang kepada keresahan para pelajar yang ingin mengadakan aktiviti harian menggunakan kemudahan padang sedia ada.
            Keresahan ini jelas disuarakan oleh para pelajar mengenai kondisi padang terutamanya di padang Perindu yang dilihat semakin teruk dan mencacatkan pemandangan lebih-lebih lagi padang tersebut berdekatan dengan Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di mana kebanyakan acara-acara besar diadakan di sana.
            Keadaan lebih memburukkan lagi apabila padang Perindu yang uzur tersebut turut digunakan oleh pasukan ragbi UiTM Lions sebagai padang latihan dan gelanggang tuan rumah kepada UiTM Lions yang beraksi di Liga Super Ragbi MRU.
            “Saya melihat padang Perindu semakin teruk dan sudah tidak sesuai lagi untuk para pelajar menjalankan kegiatan harian kerana dikhuatiri mengundang kecederaan serius kepada mereka”, menurut Mohammad Faris Zainal Abidin, 20, pelajar Fakulti Sains Gunaan.
            Turut bersetuju dengan keadaan tersebut ialah Muhammad Shazwan Ramli. 20, pelajar Fakulti Undang-undang yang berkata bahawa padang Perindu sepatutnya sudah lama dinaiktarafkan kerana rata-rata para pelajar begitu memerlukannya untuk menjalani aktiviti harian mereka.
            Perkara ini turut diakui sendiri oleh Penolong Pegawai Sukan Kanan UiTM, Zamri Abdul Kahar yang menjelaskan sepatutnya pihak pengurusan berwajib perlu lebih peka dengan keadaan ini kerana rata-rata padang di sekitar UiTM sudah tidak boleh digunakan untuk penganjuran sebarang aktiviti rasmi di samping padang ini begitu diperlukan pelajar.
            “Kami menuntut bahawa pihak berwajib perlu segera menaiktarafkan padang Perindu kerana para pelajar memerlukannya, kondisi padang juga sudah terlalu buruk dan kami mahukan pihak tersebut menaiktaraf padang Perindu dari segi sistem pengairan dan perparitan serta kualiti rumput padang yang sama taraf dengan padang di Stadium UiTM”, ujarnya lagi
            Diharapkan kepada pihak berkenaan, sila buka mata terhadap masalah ini dan tidak terus mengabaikannya dan hanya memakan gaji buta sahaja kerana ternyata padang tersebut begitu bermakna kepada para pelajar UiTM dan juga mencerminkan pengurusan pihak atasan UiTM.
            Untuk makluman, selain Stadium UiTM, padang Perindu dan Seroja menjadi tumpuan utama terhadap penganjuran sesuatu aktiviti dan karnival, terutamanya aktiviti-aktiviti sukan dan ko-kurikulum para pelajar UiTM.




Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger