Home » » Pelajar UiTM Bakal Nikmati Stadium Baru

Pelajar UiTM Bakal Nikmati Stadium Baru

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


SHAH ALAM- Sebuah stadium hoki baru yang dikenali sebagai Stadium Mini Hoki UiTM kini sedang dalam fasa pertengahan pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya awal Januari 2013.
            Perkara ini disahkan sendiri oleh Penolong Pegawai Sukan Kanan UiTM, Zamri Abdul Kahar ketika ditemu ramah di pejabatnya yang terletak di Kompleks Pusat Sukan UiTM.
            Pembinaan stadium hoki ini dimulakan pada awal Februari 2012 dan mengikut perkiraan jadual asal, ia sepatutnya sudah siap pada pertengahan bulan September lalu, namun atas sebab perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan, kerja-kerja pembinaan masih diteruskan lagi sehingga ianya dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
            Stadium hoki baru yang akan menggunakan permukaan hijau ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak UiTM dibawah penyelenggaraan Pejabat Pengurusan Fasiliti dengan anggaran kos sebanyak 4.7 juta ringgit sebelum diletakkan di bawah jagaan Pusat Sukan setelah selesai kerja-kerja pembinaannya.
            “UiTM telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai pusat sukan tumpuan bagi permainan hoki dan perkara ini menjadi salah satu keutamaan kita dalam mengemukakan usul untuk pembinaan stadium baru ini kepada pihak atasan universiti,” tambah Zamri lagi.
            Idea penubuhan stadium hoki yang baru ini diusulkan sendiri oleh pihak Pusat Sukan kepada UiTM bagi memberikan peluang kepada pasukan hoki UiTM untuk berlatih di laman sendiri setelah sebelum ini mereka hanya berlatih di Pandamaran, Klang dan di Bukit Jalil di samping untuk kegunaan umum termasuklah kepada para pelajar, staf UiTM serta kepada orang awam.
            Perancangan dalam pembinaan stadium hoki ini dilakukan secara bersama-sama dengan Persatuan Hoki Malaysia yang bertindak sebagai badan rujukan dalam pelbagai perkara antaranya seperti reka bentuk, ukuran keluasan stadium hoki dan penyediaan kemudahan di stadium tersebut.
            Tarikan utama stadium hoki baru yang mempunyai kapasiti sebanyak 500 orang dalam sesuatu masa ini dikatakan terletak kepada reka bentuknya yang  mengikut pelan lakaran terkini stadium hoki utama yang terdapat di negara mahupun di luar negara.
            Menerusi pembinaan stadium baru ini, pihak Pusat Sukan mengharapkan orang ramai mampu memanfaatkan kemudahan terbaru ini sebaik-baiknya di samping terus menggunakan perkhidmatan di Pusat Sukan yang telah disediakan khas untuk kegunaan umum.
            Pelbagai rangka pembaharuan telah disediakan oleh pihak Pusat Sukan namun begitu kebanyakan darinya masih lagi menunggu jawapan daripada penghasilan kertas kerja sebelum diusulkan kepada pihak atasan UiTM bagi pengesahan lanjut.
            Pembinaan stadium hoki yang baru ini juga menjadi suatu kejayaan kepada UiTM kerana melalui stadium ini juga, pertandingan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa boleh dilangsungkan di sini dan tidak hanya tertakluk dalam menggunakan stadium hoki yang sedia ada di Lembah Klang ini sahaja.
            Unit Kemudahan Sukan UiTM mengharapkan bahawa para pelajar akan terus-menerus menggunakan kemudahan yang ada kerana ternyata hanya di pusat sukan UiTM sahaja menerima jumlah kehadiran cukup membanggakan jika hendak dibandingkan dengan universiti-universiti sedia ada di negara ini.



Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger