Home » » Seni Kami Bukan Seni Samseng! : Qalid

Seni Kami Bukan Seni Samseng! : Qalid

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday, 20 December 2012 | 20.12.12


SUBANG- “Jangan persenda seni kami sebagai seni samseng jika tidak tahu apa-apa mengenai dunia seni bela diri. Itulah yang diluahkan oleh Qalid Saripan, wakil Malaysia yang akan bertanding dalam acara tomoi di Sukan Sea Myanmar pada tahun hadapan mengenai pandangan negatif masyarakat tentang seni tomoi.
            Petinju berusia 22 tahun yang berasal dari Kedah itu mengutarakan pandangannya mengenai perspektif negatif masyarakat terhadap sukan tomoi yang telah disalahertikan sebagai seni samseng yang menyumbang ke arah kehancuran anak muda masa kini.
            “Kekuatan mental seorang manusia merupakan kekuatan istimewa yang harus dikuasai oleh semua orang jika ingin mengatasi segala perkara yang dianggap mustahil, tiada jalan mudah untuk anda berjaya”, katanya setelah ditanya mengenai aspek utama yang perlu dikuasai oleh seseorang individu yang ingin maju dalam kehidupannya.
            Beliau yang digelar sebagai Raja Siku kerana mempunyai teknik menyiku yang digeruni lawan pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa seperti di Vietnam dan Iran selain turut memasang impian untuk beraksi di Lumpinee, kejohanan tertinggi yang digelar stadium keramat agung tomoi di Thailand.
            Ditanya lagi apakah yang mendorong minat beliau untuk menceburi bidang yang ekstrem ini, Qalid memberitahu bahawa pengalaman hidup beliau yang hanyut dalam gejala sosial sebelum ini telah membuka hati beliau untuk mendisiplinkan diri ke arah kebaikan hidup di samping kerjaya sebagai petinju tomoi yang dilihat mampu menjadi suatu karier dengan pendapatan lumayan jika berazam untuk menguasainya.
            Pendapat beliau yang mengatakan seni bela diri tomoi ini bukan suatu seni samseng turut disokong sepenuhnya oleh bekas juara dunia berganda tomoi yang kini menjadi jurulatih kelab Boxxwarriors di Subang, Bow Suwailek di samping turut menambah bahawa melatih diri dengan seni bela diri keras seperti tomoi ini sebenarnya mampu menyihatkan tubuh badan, mengelakkan diri daripada gejala tidak sihat dan merupakan simbol kemegahan seorang lelaki yang patut dihargai secukupnya oleh generasi muda kini.
            Bow turut mengakui bahawa potensi tomoi di Malaysia sebenarnya semakin bagus dan hampir setanding dengan Thailand serta tidak mustahil mampu menyaingi Thailand suatu hari nanti selain sukan sepak takraw.
            Beliau yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun dan telah bermain sebanyak 489 perlawanan menegaskan bahawa seni bela diri tomoi sebenarnya telah diiktiraf oleh pakar seni bela diri antarabangsa sebagai seni bela diri nombor satu di dunia sejak dahulu lagi, sekaligus menafikan sepenuhnya tohmahan orang ramai bahawa sukan tomoi ini tidak lebih daripada sekadar sukan ganas yang cuma popular di buminya sahaja iaitu di Thailand.
            Bow menambah lagi bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia seharusnya mula menyenaraikan sukan tomoi ini sebagai sukan prospek utama negara memandangkan potensi besar yang dipamerkan oleh petinju-petinju negara khususnya yang bernaung di bawah kelab-kelab persendirian  di Kedah dan Kelantan.
            Untuk makluman, kontijen negara buat julung kalinya akan menyenaraikan peserta bagi acara Muay Thai yang dipertandingkan di Sukan Sea Yangon, Myanmar pada tahun 2013 setelah beberapa edisi Sukan Sea sebelum ini tidak disenaraikan sukan tersebut.
            Qalid turut berpesan kepada masyarakat di luar sana yang berminat untuk menyertai sukan tomoi tetapi tidak yakin dengan kebolehan mereka supaya luaskan kotak pemikiran mereka kerana sukan tomoi bukan hanya bersifat fizikal semata-mata, malah melibatkan kecerdasan dan ketangkasan seseorang itu memikirkan strategi dalam menumbangkan lawannya.
            Kepada sesiapa yang berminat untuk mendalami dan menguasai seni bela diri tomoi serta memperbaiki keyakinan diri menerusi aspek fizikal, mental dan emosi boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi talian 24 jam secara terus di talian 017-5632042 atau 014-3095365 selain hadirkan diri terus ke kelab Boxxwarriors yang beroperasi setiap hari di SS15 Subang Jaya, berhadapan dengan Subang Parade.

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger