Oleh Ali Imran Mohd Noordin
BUKIT MERTAJAM, 30 Nov (Bernama) -- Menurut statistik budaya membaca telah meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Daripada purata hanya dua buah buku setahun pada tahun 2005, budaya ini telah meningkat dengan purata 8-12 buku bagi seorang rakyat Malaysia untuk tahun 2010.
Bagaimanapun Kajian Tabiat Membaca kelolaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang dijalankan setiap lima tahun itu masih belum mengambil kira sumber bacaan digital. Jika sumber ini diambilkira sudah tentu statistik budaya membaca ini akan lebih tinggi.
Baru-baru ini PNM dengan kerjasama KTM Berhad (KTMB) telah menjalankan projek usahasama 'Mari Membaca 1Malaysia' (MM1M) bertemakan 'Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan' Siri Dua untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.
Berlangsung pada 12 Nov lepas, program ini adalah lanjutan kepada projek rintis yang dilancarkan pada November 2008 di stesen KTMB di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak. Kini ia dikembangkan ke stesen Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Uniknya, pelancaran program ini dibuat dalam gerabak Ekspres Sinaran Utara yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Bukit Mertajam. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti pemberian buku percuma kepada para penumpang, bacaan puisi oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta kempen galakan membaca untuk kanak-kanak.
IMPAK POSITIF
Ketika ditemuramah Bernama, Maglin memperlihatkan rasa gembira beliau dengan kemajuan yang dicapai melalui program ini, kerana ia memberi impak positif secara terus kepada rakyat tempatan dan pelancong.
"Bila kali pertama saya mendapat tahu tentang perancangan program ini, saya tahu bahawa ia adalah program yang hebat," kata beliau.
"Dengan membaca, pelancong akan dapat mengenali negara kita dengan lebih dekat serta memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat," jelas Maglin lagi.
Beliau juga berpendapat bahawa bahan bacaan berkualiti adalah penting untuk memelihara bahasa daripada dicemari di samping mendidik pembaca untuk menggunakan tatabahasa yang betul.
BANK BUKU
Konsepnya amat mudah. Orang ramai boleh menderma buku melalui kotak 'Bank Buku' yang disediakan di stesen-stesen kereta api, buku-buku ini bakal digunakan sebagai bahan bacaan di rak buku dalam setiap gerabak KTMB.
Buat masa ini, kotak Bank Buku disediakan di stesen KTMB di KL Sentral, Ipoh dan yang terbaru di Bukit Mertajam. Konsep ini akan diperluaskan sehingga merangkumi semua stesen utama KTMB pada masa akan datang.
PNM menggalakkan masyarakat untuk menderma apa juga jenis buku yang masih elok untuk digunakan dalam program ini agar ia dapat terus memberi manfaat kepada orang lain dari terbiar atau dibuang begitu sahaja.
Selain itu, PNM juga memainkan peranan sebagai jambatan penghubung dengan pihak penerbit buku untuk mendermakan bahan bacaan di bawah program ini.
"Perlaksanaan program ini ibarat tidak mengeluarkan sebarang kos. Kami menggunakan bahan bacaan yang didapati secara percuma untuk dihidangkan kepada penumpang KTMB," kata Timbalan Ketua Pengarah PNM, Siti Rodziah Othman.
"Inilah satu daripada platform yang diberikan kepada orang ramai untuk bersama agensi kerajaan bagi menggalakkan budaya positif ini, demi kebaikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," tambahnya.
NILAI KUALITI
Bagi KTMB, program seumpama ini dapat menambah nilai kualiti perkhidmatan kepada penumpang di samping membolehkan KTMB memaksimumkan penggunaan ruang dalam setiap gerabak.
Pengurus Pemasaran, Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi berkata, KTMB sememangnya berhasrat untuk menjadikan stesen dan gerabak milik mereka agar mesra pembaca.
"Kami sedar akan potensi untuk menambah nilai kemudahan sedia ada agar lebih mesra pembaca dan pastinya kami akan melakukan perubahan seperti menyediakan ruang bacaan di stesen-stesen untuk meluaskan lagi perlaksanaan MM1M dari semasa ke semasa," katanya.
Pada waktu ini, semua kereta api bagi perkhidmatan utara-selatan seperti Sinaran Utara, Senandung Mutiara dan Sinaran Selatan telah dilengkapi kemudahan sudut buku dalam gerabak bagi penumpang kelas satu dan kelas dua.
Menjelang 2012, kemudahan ini akan diperluaskan merangkumi perkhidmatan laluan pantai timur seperti Senandung Wau dan Senandung Timuran. Ia juga akan disediakan di gerabak kelas tiga setiap laluan selari dengan hasrat menaik taraf kelas berkenaan.
PUISI EMPAT JAM
Turut memeriahkan pelancaran program ini ialah mahasiswa UPSI yang menawarkan diri secara sukarela untuk membacakan puisi tanpa henti sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira empat jam.
Bagi Siti Hajar Basir, 22, puisi adalah satu daripada khazanah Bahasa Melayu yang indah dan perlu dipertahankan.
"Justeru itu, golongan muda perlu melibatkan diri untuk memastikan agar ia sentiasa terpelihara," katanya.
Beliau turut menyatakan, program sebegini sangat baik untuk meningkatkan keyakinan diri serta menghilangkan perasaan segan kerana sebagai bakal guru, sikap negatif itu perlu dibuang.
RESPON POSITIF
Bernama sempat menemubual beberapa penumpang Sinaran Utara bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan program ini.
Pencinta buku, Harris Possible, 60, adalah warga Malaysia yang menetap di London sejak 30 tahun lepas melahirkan rasa gembira dengan program MM1M ini.
"Usaha sebegini harus disanjung kerana keseronokan membaca adalah sangat mengasyikkan.
"Di London, terdapat kempen yang hampir sama iaitu 'BookCrossing' di mana masyarakat diajak untuk meninggalkan buku di tempat awam supaya dapat diambil oleh orang lain untuk dibaca agar buku yang sama dapat dikongsi pelbagai pihak," katanya yang berharap program seumpama dapat dilaksanakan di Malaysia satu hari nanti.
Pelajar jurusan kewangan dan perbankan Tan Sing Yee, 20, berharap kempen ini berjaya menaikkan semangat penumpang kereta api untuk mengisi masa terluang dengan membaca.
Pegawai kerajaan, Zamri Dulhadi, 27, berkata membaca seharusnya dijadikan rutin harian yang baik untuk rakyat Malaysia, seperti mana pentingnya bersenam untuk menjaga kesihatan diri.
"Budaya ini perlu dididik sejak umur kanak-kanak lagi. Ia akan membawa kepada satu anjakan paradigma dalam memupuk masyarakat Malaysia yang berilmu," tambahnya.
TARIK MINAT PELANCONG
Warga Australia James Welch, 29, dan Harriet Jones, 23, yang teruja untuk melawat Malaysia bagi melihat keindahan negara kagum dengan usaha yang dilaksanakan oleh PNM dan KTMB.
Mereka berkata, di Australia budaya membaca adalah sesuatu yang umum dan ia juga pasti amat baik untuk masyarakat Malaysia.
"Ia memberi lebih pilihan aktiviti kepada penumpang kereta api selain menikmati pemandangan dan menonton tayangan filem," kata Welch.
Jones pula berkata, usaha sebegini perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak, termasuk ibu bapa untuk memastikan budaya membaca dapat diterap kepada generasi muda dan tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan sahaja.
-- BERNAMA

0 comments:
Post a Comment