![]() |
| Calon SPM dan STPM yang tekun mendengar didikan daripada fasilitator UiTM |
SHAH ALAM - Semangat juang yang tinggi dan tidak pernah mengenal erti putus asa telah mendidik para fasilitator UiTM Shah Alam untuk menerapkannya kepada calon SPM dan STPM supaya lebih berdedikasi dan berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan mereka.
Menurut Muhd Faisal Ibrahim, program ini telah memberikan impak besar kepadanya dan rakan-rakan kerana mereka telah mempelajari banyak perkara sepanjang program ini berlangsung.
“Kami juga telah mempelajari cara-cara belajar dengan mudah dan efektif dalam slot Smart Learning yang telah dikendalikan oleh abang-abang dan kakak-kakak fasilitator.
“Program ini membantu kami dalam pelbagai aspek dan mendidik kami menjadi seorang pelajar yang tidak mudah berputus asa dan mempunyai pemikiran yang positif.”
Pengetua SMK Bandar Tasik Kesuma, Puan Hajah Hamidah Abd Rahman berkata, budaya berfikir yang diterapkan dalam kalangan pelajar turut mendorong kepada pencapaian cemerlang sekolah itu pada tahun lepas dan ia amat bersesuaian dengan konsep baru pendidikan yang telah diselaraskan.
“Pelajar seharusnya diberi peluang untuk mengemukakan pandangan dan idea masing-masing supaya mereka dapat berfikir luar kotak pemikiran.
“Galakkan pelajar untuk rajin bertanya dan memberi pandangan daripada perspektif mereka mengenai sesuatu subjek yang dianggap kritikal itu.
“Untuk itu, guru juga perlu memainkan peranan penting dalam perkara ini dengan menjadikan mereka pelajar yang berdedikasi dan luas ilmu pengetahuan.”
Pendekatan mereka yang menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam menjawab soalan bukan sahaja telah meningkatkan keyakinan para pelajar malahan mengubah persepsi mereka yang tidak mahu berusaha.
Menurut Pengarah Program Motivasi Kecemerlangan SPM dan STPM SMK Bandar Tasik Kesuma, Nurul Nadia Ab Hamid berkata, tujuan kembara ini dilakukan adalah untuk membantu adik-adik di kalangan pelajar SPM dan STPM yang akan mengambil peperiksaan pada tahun ini.
“Kebanyakan pengisian aktiviti yang diberikan berbentuk kepada motivasi diri yang mendorong kepada nilai-nilai murni, kasih sayang, toleransi, bekerjasama, bermuafakat dan tidak mementingkan diri sendiri.”
Melalui setiap modul yang dijalankan, pelajar akan diterangkan dengan lebih terperinci mengenai matlamat asal sesuatu modul itu dibuat.

0 comments:
Post a Comment