Home » » Berlari sambil beramal.

Berlari sambil beramal.

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


SHAH ALAM, 9 Disember - Larian Kemanusiaan Rohingya 2012 berjaya mencapai sasarannya apabila lebih 1,500 peserta menyertai larian bagi mengumpul dana membantu masyarakat Rohingya yang tertindas di Myanmar.
Larian yang dianjurkan Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sukarelawan Mercy UiTM itu, turut mengumpul RM25,000 dan akan disalurkan kepada Tabung Rohingya yang sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.
 Dana yang terkumpul hasil kerjasama Mercy UiTM dan Mercy Malaysia daripada larian ini akan disalurkan kepada masyarakat Rohingya yang hidup dalam kesempitan selepas berlaku pergolakan dalaman di Myanmar untuk membeli barangan yang dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Pihak penganjur berbangga kerana program berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pelajar universiti, sekolah menengah dan orang awam daripada pelbagai peringkat umur.
“Melalui aktiviti sebegini, ia sekali gus menjadi satu sumbangan modal insan masyarakat terutama pelajar universiti membantu insan lain yang memerlukan,” kata Ketua Jaringan Masyarakat, Norshiha Saidin pada sidang media, semalam.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) UiTM, Profesor Dr Norsaadah Ismail berkata, seramai 60 pelajar terbabit sebagai sukarelawan berpeluang mengumpul pengalaman yang sangat bernilai.
Jika sebelum ini pelajar hanya tertumpu kepada pelajaran di dalam kuliah, menerusi pembabitan dalam program berkenaan, ia mendedahkan pelajar untuk memupuk kesedaran serta semangat kesukarelawan.
Ia juga menggalakkan penglibatan warga UiTM  dalam  aktiviti sukarelawan dan memberi bantuan kemanusiaan serta dapat memupuk nilai kemanusiaan dan keprihatinan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira negara dan bangsa.
Salah seorang daripada peserta yang juga pelakon, Beto Kusyairy, 32, berkata, dia terpanggil menyertai larian berkenaan bagi menunjukkan sokongannya terhadap kempen mengumpul dana untuk disalurkan kepada masyarakat Rohingya.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger