Home » » Pelajar UiTM bukti kemampuan dalam Saksi Terakhir

Pelajar UiTM bukti kemampuan dalam Saksi Terakhir

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12


SHAH ALAM, 8 Nov – ‘Mahkamah’ bersidang bagi mengacarakan kes yang membawa kepada hukuman mati mandatori dan hakim kelihatan teliti mendengar hujahan peguam cara serta peguam bela.
Simulasi ‘mock trial’ itu merupakan antara adegan lakonan dalam menyampaikan perbicaraan olok-olok yang ditiru dari situasi sebenar dalam mahkamah dan dipersembahkan oleh para pelajar dari Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam.
Berbeza dengan prosiding mahkamah biasa, ia diselitkan dengan unsur humor yang kadangkala menggeletek hati sambil diselang seli dengan tarian, nyanyian dan gelak tawa sidang ‘mahkamah’ dan pemerhati.
Tidak bermaksud memperolok sidang mahkamah, ia sebaliknya mahu menimbulkan suasana lebih santai, sekali gus sesuai dengan golongan pemerhati yang terbabit.
Kebijaksanaan pengarah dan penulis skrip berjaya menghasilkan naskhah yang bukan sekadar hiburan sahaja malahan sarat dengan nilai-nilai kemanusian dalam masyarakat kita sekarang.
Menerusi naskhah edisi ke-2 ini, pihak produksi telah mengangkat karya Muhammad Nazrul Anas bin Zunaidi, pelajar tahun kedua Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam yang berjudul Saksi Terakhir.
Rabiatul Adawiyah bt Sulaiman,21 yang juga pelajar tahun kedua fakulti yang sama diberi tanggungjawab sebagai pengarah teater berkata, program tersebut mendapat sambutan bukan sahaja dari pelajar Fakulti Undang-undang sahaja malah mereka datang dari pelbagai fakulti dan universiti yang terdekat. 
 Puan Mimi Sintia Hj. Mohd Bajury, pensyarah di Fakulti Undang-undang UiTM berkata, acara seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia berjaya menggabung pelbagai elemen yang amat sesuai untuk pembelajaran pelajar itu sendiri.
“Teater ini secara tidak langsung mendedahkan kepada semua lapisan masyarakat yang ingin mengetahui prosedur sebenar dalam mahkamah dengan pendekatan yang lebih santai dan tidak membosankan,” tambahnya lagi.
 Bagi Aida Sue pula, ia merupakan kali pertama beliau menonton acara tersebut dan begitu teruja dengan persembahan mereka, seolah-olah mereka pelakon teater yang sebenar, katanya yang turut hadir bersama selebriti Master Chef Malaysia, Brian dan Emelda bagi memeriahkan lagi acara tersebut.
Ini merupakan tahun kedua Law Society menganjurkan UiTM Mock Trial dan untuk persembahan kali ini, seramai 150 tenaga produksi terlibat untuk menjayakan program teater ini yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pemuzik, penari, krew produksi dan ahli jawatankuasa pengurusan. 

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger