Home » » Ke Manakah Arah Tuju Mahasiswa ‘Lembut’?

Ke Manakah Arah Tuju Mahasiswa ‘Lembut’?

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12



Fenomena lelaki lembut ini sudah lama berlaku khususnya di negara Barat dan mereka bebas untuk
menjalankan kegiatan mereka. Sekiranya kegiatan mereka ini dihalang dan disekat, golongan ini akan
menentang kononnya ini adalah hak asasi mereka yang tidak boleh dicabuli. Kegiatan ini juga diterima
masuk ke Malaysia tanpa dapat disekat proses perkembangannya. Walau bagaimanapun, fenomena
golongan lelaki lembut ini menular sedikit demi sedikit  dalam kalangan masyarakat biarpun kehadiran mereka kurang disenangi oleh kebanyakan individu.
                Masalah lelaki lembut di IPTA mula menjadi duri dalam masyarakat, khususnya apabila golongan ini lebih berani bersuara tentang hak mereka dan melakukan tindakan yang memalukan universiti.  Masalah ini juga menarik perhatian  bekas Menteri Perpaduan Negara dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Paduka Dr Siti Zaharah Sulaiman yang menyatakan pihak universiti harus berjaga-jaga dengan kebanjiran lelaki lembut di menara gading. Pihak universiti juga turut bersetuju dengan dakwaan tersebut sehinggakan golongan ini boleh menubuhkan kumpulan mereka.
                Dengan kemunculan kelompok lelaki lembut di dalam bidang akademik, ini memberikan gambaran dan persepsi  negatif kepada masyarakat dan menjatuhkan imej universiti. Matlamat pelajar ke universiti adalah untuk
menuntut ilmu  dan memberikan jaminan masa depan yang terbaik kepada mereka. Namun, sama ada disedari atau tidak masalah sosial muncul dengan pelbagai budaya dan ragam dalam kalangan pelajar. Salah satunya adalah masalah yang dibawa oleh kelompok lelaki lembut yang wujud di dalam persekitaran pusat pendidikan ini seperti hidup bersosial dan berpenampilan menyerupai wanita, budaya  ‘pinky’ yang menjadi gaya dan  trend  dalam kalangan lelaki lembut dan sebagainya.  
                Pelbagai reaksi yang bersifat positif mahupun negatif diterima apabila isu pelajar lelaki lembut dibangkitkan sama ada daripada Persatuan Mahasiswa Universiti, pensyarah-pensyarah, media cetak dan elektronik mahupun masyarakat luar. Tidak ketinggalan juga reaksi yang diberikan oleh individu yang tergolong dalam kategori pelajar lelaki lembut ini. Ekoran daripada itu, penulis telah menemubual dua orang pelajar lelaki yang boleh dikategorikan sebagai ‘lelaki lembut’ ini untuk meminta pendapat dan pandangan mereka tentang isu ini dan menjawab persoalan ke mana hala tuju dan masa depan mereka berhubung diksriminasi terhadap golongan ini. 
                Lebih dikenali sebagai anne, 23, seorang pelajar lelaki ‘lembut’ yang mempunyai personaliti menarik dan sifat yang menyenangkan sesiapa sahaja apabila bersamanya. Menurut Anne, dia sangat kecewa dengan sikap dan tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka kerana pada pandangannya, mereka juga boleh berbakti dan memberikan sumbangan kepada Negara, malahan dia mengatakan bahawa ada di antara mereka lebih berjaya dalam bidang masing-masing jika dibandingkan dengan mahasiswa-mahasiswa lain yang malas berusaha dan sentiasa memandang rendah terhadap golongan sepertinya.
                “Walaupun golongan seperti kami masih sukar diterima masyarakat, tetapi kami sentiasa berusaha untuk memajukan kehidupan dan membanggakan keluarga kami. Kami sentiasa percaya kepada kebolehan diri sendiri dan cuba memperbaiki segala kekurangan yang ada serta tidak menghiraukan tanggapan negatif masyarakat sekeliling yang lebih suka menuding jari terhadap orang lain”, katanya.
                Seorang lagi mahasiswa ‘lembut’, Izzy, 23, yang tidak mahu gambarnya disiarkan berpendapat masa depan golongan sepertinya tidak perlu dijadikan isu dan masyarakat tidak perlu terus menghukum mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk berjaya seperti individu lain. Katanya lagi, masyarakat perlu berfikiran terbuka dan menerima kehadiran mereka kerana setiap manusia dilahirkan berbeza personaliti dan tingkah laku.
                “Sikap keterlaluan masyarakat sangat mengecewakan. Sikap dikriminasi dan prejudis mereka terhadap golongan seperti kami seolah-olah masa depan kami terletak di tangan mereka. Walau bagaimanapun, kami sangat berterima kasih kepada Yang Amat  Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah memberikan ucapan bahawa golongan seperti kami tiada masalah untuk berkhidmat dan bekerja di sektor awam”.
                Masalah mahasiswa ‘lembut’ ini terus dibincangkan oleh umum dan masyarakat semakin bimbang terhadap masa depan dan perancangan hala tuju mereka sebaik tamat belajar dan bergraduasi, adakah mereka berjaya mencapai masa depan yang cemerlang seperti individu lain? Adakah nasib mereka sentiasa terus diprejudiskan dan adakah mereka diberikan peluang untuk menonjolkan kebolehan dan keupayaan diri mereka untuk memperoleh kepercayaan daripada masyarakat?
                Kewujudan golongan ini di universiti perlu didedahkan kepada umum, bukan bermaksud untuk mengaibkan mereka, tetapi untuk memberi peluang kepada masyarakat  membuat penilaian yang sewajarnya terhadap fenomena ini dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap nasib golongan minoriti ini supaya golongan mahasiswa ini tidak merasa diri mereka dipinggirkan atau disisihkan sepertimana yang mereka rasa dan alaminya
sebelum ini. Di samping, pihak universiti perlu membuat pemantauan terhadap segala kegiatan dan aktiviti yang mereka jalankan  serta tidak wajar menunjukkan sikap negatif terhadap golongan ini. Sebaliknya, perlu bersikap terbuka  dan pada masa yang sama boleh memainkan peranan untuk membawa mereka kepada perubahan diri secara hikmah dan toleransi agar mereka memperoleh masa depan yang terjamin selepas tamat belajar kelak.
            Kewujudan kumpulan minoriti ini semakin berleluasa dan membimbangkan. Ini telah dibuktikan melalui laporan media massa dan juga kajian ilmiah yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji masyarakat berkaitan dengan kecelaruan gender. Sekiranya isu ini tidak dilihat secara terperinci, dikhuatiri yang ia akan merebak menjadi masalah sosial yang lebih serius.Akibatnya, akan wujud kesan buruk terhadap masyarakat daripada pelbagai aspek seperti aspek moral, sosial, kesihatan, keagamaan, perundangan dan ekonomi. 
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger