Home » » Keterujaan Nisa

Keterujaan Nisa

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12




Pepatah Melayu ada menyebut, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Jika diamati dengan betul, ia sebenarnya mempunyai makna yang sangat besar dan luas apatah lagi jika ia dilihat dari sudut usaha untuk berdakwah yang tidak sepatutnya diletakkan di bahu satu pihak semata.

Menyedari keperluan berdakwah merupakan tanggungjawab semua pihak, Khairunnisa Mazlan, 24 (gambar), ketika ditemui berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri dalam memastikan tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin sebagai seorang pelajar.

"Usaha dakwah ini bukan usaha dari satu pihak sahaja tetapi ia memerlukan kerjasama daripada semua termasuklah pelajar itu sendiri. Sebagai seorang pelajar, lebih mudah sebenarnya jika kita berdakwah kepada rakan terdekat kerana hanya pelajar yang memahami pelajar," katanya.

Memulakan usaha dakwah melalui aktiviti usrah yang dilakukan dalam kumpulan yang kecil, kata Nisa lagi, ia dimulai dengan usaha berdakwah kepada rakan-rakan terdekat dahulu sebelum ia dilakukan di dalam kelompok yang lebih besar.

Menurut beliau lagi, kali pertama program usrah diadakan adalah semasa Kuliah Jumaat di UiTM Shah Alam, dan ia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama daripada kalangan pelajar fakulti perakaunan.

"Bayangkan, begitu ramai pelajar yang datang ke kuliah tersebut sehinggakan ada pelajar yang terpaksa duduk di atas lantai kerana ruang bilik yang disediakan tidak mencukupi. Itu menunjukkan bahawa sebenarnya terdapat ramai dalam kalangan pelajar UiTM yang sememangnya tercari-cari akan program berbentuk keagamaan seperti ini," jelasnya.

Tambah beliau lagi, idea untuk melakukan aktiviti usrah ini muncul setelah beliau melihat sendiri kurangnya program-program berbentuk keagamaan yang diadakan di dalam UiTM.

"Kebanyakan program yang ada dilihat lebih cenderung ke arah hiburan semata-mata. Niat saya cuma satu, ingin melihat rakan-rakan di UiTM cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam aspek kerohanian," katanya.





Nisa yang juga merupakan ketua beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Shah Alam berkata, terdapat beberapa kisah menarik yang berlaku sepanjang beliau melibatkan diri di dalam aktiviti dakwah yang dirasakan boleh dijadikan iktibar bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada seluruh pelajar UiTM khususnya.

"Pernah dahulu selepas tamat saja program yang dianjurkan oleh PEMBINA, saya terus  menaiki bas untuk pulang ke kolej. Sewaktu di dalam perjalanan, tiba-tiba saya disapa oleh seorang kakak yang datang dari belakang tempat duduk saya, yang juga merupakan pelajar UiTM."

"Saya sukalah tengok awak pakai tudung labuh. Rasa lain bila duduk dekat dengan awak," cerita Khairunnisa mengimbas kembali kata-kata yang diucapkan oleh pelajar tersebut kepadanya.

Menurut Khairunnisa lagi, selepas peristiwa tersebut, dia meneruskan persahabatan dengan pelajar terbabit sehinggalah pelajar tersebut berubah daripada "free hair" kepada bertudung.

"Apa yang hendak saya tekankan di sini ialah tentang sikap kita yang kadangkala lebih suka untuk menghukum seseorang berbanding membantu mereka untuk berubah. Kita selalu mengandaikan mereka yang bermasalah sebagai jahat tanpa mengambil peduli perkara atau pun punca yang menjadikan mereka begitu."

"Sepatutnya kita perlu menjadi kawan kepada mereka, tanya apa masalah mereka, tunjukkan contoh tauladan yang baik, dan dalam masa yang sama memimpin mereka ke arah kebaikan dan bukannya meninggalkan mereka atau pun memarahi mereka sesuka hati," katanya.

Tegas Nisa lagi, sekiranya pelajar mahu melihat individu tertentu berubah kepada yang lebih baik, pelajar itu sendiri perlu menjadi rakan kepada individu tersebut terlebih dahulu. Pelajar juga perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti dan bukannya berceramah atau pun menghukum kesalahan yang dilakukan secara membuta tuli.

Nisa juga menyeru serta mengajak rakan-rakan di UiTM untuk sama-sama membantu menjaga dan menaikkan lagi nama baik UiTM di mata masyarakat.

Share this article :

1 comments:

Anonymous said...

CALON ISTERI :D

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger