Pepatah
Melayu ada menyebut, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".
Jika diamati dengan betul, ia sebenarnya mempunyai makna yang sangat besar dan
luas apatah lagi jika ia dilihat dari sudut usaha untuk berdakwah yang tidak
sepatutnya diletakkan di bahu satu pihak semata.
Menyedari
keperluan berdakwah merupakan tanggungjawab semua pihak, Khairunnisa Mazlan, 24
(gambar), ketika ditemui berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri dalam
memastikan tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin
sebagai seorang pelajar.
"Usaha
dakwah ini bukan usaha dari satu pihak sahaja tetapi ia memerlukan kerjasama
daripada semua termasuklah pelajar itu sendiri. Sebagai seorang pelajar, lebih
mudah sebenarnya jika kita berdakwah kepada rakan terdekat kerana hanya pelajar
yang memahami pelajar," katanya.
Memulakan
usaha dakwah melalui aktiviti usrah yang dilakukan dalam kumpulan yang kecil,
kata Nisa lagi, ia dimulai dengan usaha berdakwah kepada rakan-rakan terdekat
dahulu sebelum ia dilakukan di dalam kelompok yang lebih besar.
Menurut
beliau lagi, kali pertama program usrah diadakan adalah semasa Kuliah Jumaat di
UiTM Shah Alam, dan ia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama
daripada kalangan pelajar fakulti perakaunan.
"Bayangkan,
begitu ramai pelajar yang datang ke kuliah tersebut sehinggakan ada pelajar
yang terpaksa duduk di atas lantai kerana ruang bilik yang disediakan tidak
mencukupi. Itu menunjukkan bahawa sebenarnya terdapat ramai dalam kalangan
pelajar UiTM yang sememangnya tercari-cari akan program berbentuk keagamaan
seperti ini," jelasnya.
Tambah
beliau lagi, idea untuk melakukan aktiviti usrah ini muncul setelah beliau
melihat sendiri kurangnya program-program berbentuk keagamaan yang diadakan di
dalam UiTM.
"Kebanyakan
program yang ada dilihat lebih cenderung ke arah hiburan semata-mata. Niat saya
cuma satu, ingin melihat rakan-rakan di UiTM cemerlang bukan sahaja dalam
bidang akademik tetapi juga dalam aspek kerohanian," katanya.
Nisa
yang juga merupakan ketua beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
cawangan Shah Alam berkata, terdapat beberapa kisah menarik yang berlaku
sepanjang beliau melibatkan diri di dalam aktiviti dakwah yang dirasakan boleh
dijadikan iktibar bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada seluruh
pelajar UiTM khususnya.
"Pernah
dahulu selepas tamat saja program yang dianjurkan oleh PEMBINA, saya terus menaiki bas untuk pulang ke kolej. Sewaktu di
dalam perjalanan, tiba-tiba saya disapa oleh seorang kakak yang datang dari
belakang tempat duduk saya, yang juga merupakan pelajar UiTM."
"Saya
sukalah tengok awak pakai tudung labuh. Rasa lain bila duduk dekat dengan
awak," cerita Khairunnisa mengimbas kembali kata-kata yang diucapkan oleh
pelajar tersebut kepadanya.
Menurut
Khairunnisa lagi, selepas peristiwa tersebut, dia meneruskan persahabatan
dengan pelajar terbabit sehinggalah pelajar tersebut berubah daripada
"free hair" kepada bertudung.
"Apa
yang hendak saya tekankan di sini ialah tentang sikap kita yang kadangkala
lebih suka untuk menghukum seseorang berbanding membantu mereka untuk berubah.
Kita selalu mengandaikan mereka yang bermasalah sebagai jahat tanpa mengambil
peduli perkara atau pun punca yang menjadikan mereka begitu."
"Sepatutnya
kita perlu menjadi kawan kepada mereka, tanya apa masalah mereka, tunjukkan
contoh tauladan yang baik, dan dalam masa yang sama memimpin mereka ke arah
kebaikan dan bukannya meninggalkan mereka atau pun memarahi mereka sesuka
hati," katanya.
Tegas
Nisa lagi, sekiranya pelajar mahu melihat individu tertentu berubah kepada yang
lebih baik, pelajar itu sendiri perlu menjadi rakan kepada individu tersebut
terlebih dahulu. Pelajar juga perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti
dan bukannya berceramah atau pun menghukum kesalahan yang dilakukan secara
membuta tuli.
Nisa
juga menyeru serta mengajak rakan-rakan di UiTM untuk sama-sama membantu
menjaga dan menaikkan lagi nama baik UiTM di mata masyarakat.
1 comments:
CALON ISTERI :D
Post a Comment