Home » » Pemilik motosikal diminta lebih berwaspada

Pemilik motosikal diminta lebih berwaspada

Written By Jurnalis Shah Alam on Thursday 20 December 2012 | 20.12.12



Pemilik kenderaan terutamanya pemilik motosikal yang tinggal di kawasan flat dan jauh daripada orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan kegiatan curi motosikal yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Shah Alam, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhammad Idzam Jaafar berkata, kurangnya kesedaran di kalangan pemilik kenderaan terutamanya dari aspek keselamatan kenderaan selain daripada kecuaian diri sendiri menjadi antara penyebab utama kepada masalah kecurian ini.

"Kebanyakan pemilik motosikal tidak peka dengan masalah kecurian yang berlaku di sekeliling mereka. Apabila kenderaan telah dicuri, barulah mereka menyesal kerana tidak menjaganya dengan baik," katanya.

Tambah beliau, kebanyakan kes yang dilaporkan menunjukkan berpunca daripada kecuaian pemilik motosikal itu sendiri.

"Kes kecurian motosikal ini biasanya kerap berlaku di kawasan yang tidak ramai orang. Pemilik motosikal harus sedar akan hal ini dan mereka sepatutnya meletakkan kenderaan mereka di kawasan terbuka yang mempunyai ramai orang dan bukan di tempat yang sunyi sehingga memudahkan kenderaan mereka dicuri," katanya.

Menurut Idzam lagi terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pemilik motosikal untuk mengelakkan motor mereka daripada dicuri termasuklah dengan cara memasang alat pengesan GPS pada motosikal.

"Mungkin ramai pemilik motosikal yang tidak tahu bahawa alat pengesan ini bukan sahaja boleh dipasang pada kereta tetapi juga pada motosikal. Dengan adanya alat pengesan ini, pihak polis masih boleh mengesan kedudukan motor mereka dengan segera jika motor mereka dicuri," tambahnya lagi.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan pemilik motosikal supaya membuat kunci tambahan sebagai langkah keselamatan bagi membendung kes kecurian yang berlaku.

"Jika berkemampuan belilah kunci tambahan yang mempunyai tahap kualiti yang baik. Jikalau beli yang murah dan tidak berkualiti, ia akan memudahkan lagi penjenayah melakukan aktiviti jenayah mereka," katanya.

Dalam pada itu pemilik motosikal yang tinggal di kawasan perumahan teres juga disarankan untuk memasang alat penggera keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) berkualiti tinggi di kediaman mereka bagi memudahkan pihak polis mengecam wajah penjenayah sekiranya berlaku sebarang kes kecurian.

Idzam juga mengingatkan pemilik motosikal untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling selain daripada menjaga motor mereka seperti menjaga diri sendiri.


Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger