Home » » Gaza - Satu Penilaian

Gaza - Satu Penilaian

Written By Jurnalis Shah Alam on Wednesday, 10 November 2010 | 10.11.10

Artikel ini adalah bahagian kedua dari siri Gaza, satu pengalaman oleh Halim Mohamed, seorang Eksekutif Wartawan Penyiaran di Divisyen Berita & Ehwal Semasa TV3. Bahagian pertama boleh dibaca di sini.


Penulis dua dari kanan bergambar bersama tiga orang tentera Israel selepas sesi temubual.


Misi ke Gaza oleh saya yang gagal disempurnakan Mei lalu bersama beberapa aktivis NGO Malaysia dan Ireland diteruskan lagi. Mencari ruang dan peluang, akhirnya saya diberi tahu terpilih mengikuti misi seumpamanya bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, PBSMM pada Julai.

Sejenak terfikir, wajarkah misi ini saya sertai? Memikirkan risiko yang mungkin dihadapi setelah saya ditahan oleh tentera Israel sehingga terpaksa meringkuk dalam penjara di negara haram itu. Atas nasihat dan dorongan pihak pengurusan Bilik Berita TV3, keluarga serta rakan-rakan, akhirnya diri dicekalkan dan cabaran baru disambut dengan penuh keinsafan.

Memandangkan pernah berdepan situasi tegang pada misi lalu, segala persiapan dilakukan bagi berdepan sebarang kemungkinan. Namun dalam keghairahan mengemas beg, saya mendapat panggilan telefon daripada PBSMM memberitahu nama saya digugurkan kedutaan Mesir di Kuala Lumpur semasa proses urusan visa kerana kami bercadang masuk ke Gaza melalui pintu sempadan di Rafah. Terkilan seketika namun pengurusan Bilik Berita TV3 memberi keyakinan isu berkenaan akan dapat diatasi. Ini kerana tiada alasan yang diberikan Kedutaan Mesir mengenai pengguguran nama saya daripada senarai rombongan.

Akhirnya, setelah berperang dengan perasaan dan emosi, akhirnya wakil PBSMM yang sudah berada di Kaherah memaklumkan kepada saya yang akhirnya saya dibenarkan menyertai rombongan berkenaan setelah urusan visa diselesaikan di sana dan bukannya di Kuala Lumpur. Saya bertanya mengapa sampai begitu sekali? Rupa-rupanya pihak Israel telah menghantar nama mereka yang ditangkap Mei lalu kepada Mesir agar “perhatian khas” perlu diberi kepada mereka! Dan saya adalah salah satu daripadanya. Alhamdulillah kerana saya mendaftar sebagai ahli PBSMM maka saya diberi peluang sekali lagi untuk “berbakti”.

Tiba di Kaherah, ibu negara Mesir, sudah mula menampakkan kesukaran dengan rombongan kami seramai 20 sukarelawan disoal-siasat serta barangan bantuan yang kami bawa diperiksa dengan begitu ketat sekali. Takut juga ketika itu memandangkan nama saya “bermasalah” sejak dari Kuala Lumpur lagi, maka saya hanya berdiam diri di belakang rombongan tadi tanpa cuba “tunjuk pandai” kerana tujuan saya satu masauk ke Gaza.

Alhamdulillah, hampir empat jam tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, kami dibenarkan meneruskan perjalanan ke hotel. Sebaik tiba di sana, seperti juga orang lain, kami sakan bergambar di hadapan bangunan hotel memandangkan itu kali pertama kami menjejakkan kami ke sana. Tiba-tiba ada seorang tentera berpakaian preman menghampiri kami dan menegur. Katanya di sana tidak boleh mengambil sebarang gambar memandangkan bangunan milik tentera negara itu terletak bersebelahan hotel kami. Aduh, susah betul Mesir ini, semuanya susah. Dahlah pegawai kerajaannya asyik minta “tips” dalam setiap uru¬san, ini nak bergambar pun payah.

Dipendekkan coretan, hampir lima hari kami terkandas di bandaraya “ganas” itu kerana rombongan kami masih tidak diberikan kebenaran untuk memasuki ke Gaza melalui pintu Rafah. Kesimpulannya kami “melancong” di sebalik misi tersebut. Sedang asyik menikmati pelayaran di atas kapal layar di Sungai Nil yang merupakan sungai terpanjang di dunia itu, satu panggilan telefon diterima daripada ketua misi yang juga Naib Pengerusi PBSMM Kebangsaan, Datuk Dr Ahmad Bahari yang meminta kami bersiap sedia kerana telah diberikan lampu hijau. Mengucap syukur ke hadrat Il¬lahi, pada hari ke-enam kami di Kaherah, misi kami diteruskan tanpa lengah untuk menuju ke destinasi asal iaitu Gaza.

Mengambil masa lima jam untuk ke Rafah, iaitu sempadan dengan Gaza, lebih kurang 23 pos kawalan tentera kami lalui. Paling sukar di pos kawalan yang kedua apabila kami tersadai lebih lima jam kerana kononnya rombongan kami tiada surat kebenaran untuk memasuki ke Gaza. Setelah puas menghubungi semua yang berkenaan dan bertelagah dengan pegawai yang “som-bong” tadi, van yang membawa kami dibenarkan memeruskan perjalanan.

Akhirnya, celik dari tidur setelah terdengar suara ketua misi yang mengejutkan kami dari tidur, pintu gerbang yang memisahkan tanah Palestin dan Mesir terpampang di depan mata. Teruja dan terasa insaf, bermulalah perjuangan sebenar kami. Di sini, karenah birokrasi yang disangka rupanya tidak menjadi kerana begitu senang kami masuk ke kaunter pemeriksaan imigresen. Sempat juga saya menelefon Bilik Berita TV3 memaklumkan perkembangan terkini tersebut untuk dimuatkan dalam Buletin Utama.

Selesai urusan imigresen dan tiba di pintu masuk Gaza serta menghirup udara negara bertuah Palestin, hati terasa sayu dengan pelbagai imbasan bermain difikirkan mengenangkan kesengsaraan yang sudah, sedang dan akan di¬lalui penghuni Gaza. Menaiki trak PBSM Palestin menuju ke Hospital Al-Quds lokasi penginapan kami, banyak yang dapat dilihat dan disaksikan di kiri dan kanan jalan.

Seakan tiada apa yang berlaku, suasana di Gaza tampak seperti biasa di luaran dengan kesan perang yang masih jelas kelihatan. Namun yang paling ketara pada pengamatan saya, ramai penduduknya duduk “bersidai” di kaki lima jalan melihat kenderaan kami menandakan mereka menganggur.

Hari pertama daripada empat hari yang diberikan kepada rombongan kami dimulakan dengan melawat beberapa lokasi kemusnahan yang berlaku. Paling menyayat hati saya, melihat beberapa hospital yang menjadi tempat merawat anak-anak kecil dan ibu-ibu yang tidak bersalah dibedil dan musnah sama sekali. Sekolah-sekolah serta masjid dan surau tidak terkecuali dengan keadaan masih sama apabila kesan kemusnahan masih jelas kelihatan kerana tiada usaha baik pulih dilakukan. Bukan kerana tiada inisiatif tetapi tiada dana dan bekalan bahan binaan yang disekat Yahudi daripada masuk ke Gaza.

Puas menyaksikan kemusnahan lokasi strategic tadi, keesokannya kami dibawa pula melawat lokasi dimana terdapat hampir 200 tero¬wong rahsia yang menghubungkan Gaza dan Bandar al-Arish di Mesir. Terdetik juga dalam hati, mengapa sebegitu banyak terowong digali? Akhirnya persoalan saya tadi terjawab apabila masuk sendiri dalam terowong itu. Rupa-rupanya ia digunakan bagi menyeludup masuk barangan keperluan harian termasuk makanan dan bahan binaan yang disenaraikan antara 83 ba-rang larangan ke Gaza oleh Israel.

Hari ketiga, rombongan kami dibawa pula menyaksikan sendiri pelabuhan Gaza yang sepatutnya menjadi lokasi kapal Rachel Corrie yang ditahan pada misi pertama saya. Sayu mengenangkan keadaan tatkala berdiri merenung jauh ke laut Mediteranean yang telah mengorbankan beberapa nyawa ketika konvoi Freedom Flotilla Mei lalu. Namun, hidup harus diteruskan dan mengenang-kan nasib penduduk Gaza, perasaan sayu itu harus dibuang jauh-jauh.

Rombongan kami juga dibawa bertemu dengan beberapa kanak-kanak dan ibu tunggal yang kehilangan orang tersayang di Rumah Al-Amal yang dibina atas inisiatif Pengasas negara Palestin, Allahyarham Yasser Arafat. Di sini, saya dapat saksikan betapa perit kehidupan anak-anak kecil yang hidup dengan anggota badan yang cacat. Namun rumah amal ini sentiasa mendidik mereka dan memberi sokongan moral agar kemurugan dapat dilupakan. Kehidupan mereka memberi sejuta keinsafan dalam diri betapa bersyukurnya kita yang berada di Malaysia bebas tanpa ganggaun penjajah.

Selesai sahaja, kami di bawa ke sebuah kampong yang menyaksikan kezaliman tentera Israel dalam sejarah peradaban dunia. Kampung Samuni dunia meratap pembunuhan kejam 21 nyawa penduduknya yang dikumpulkan di satu lokasi bersama 89 yang lain. Tanpa alasan dan amaran, mereka ditem¬bak bertubi-tubi dan belas. Sayu dan hiba mendengar cerita penduduk kampong yang kami temui.

Hari terakhir di bumi Gaza, PBSM Malaysia dan Palestin duduk semeja berbincang mengenai keperluan dan bantuan yang ditagih mereka. Komitmen dizahirkan Malaysia melalui PBSMM untuk membantu seboleh mungkin. Menggunakan jaringan antarabangsa PBSM, bantuan yang hendak disalurkan diyakini sampai ke golongan sasaran.

Melangkah keluar dari bumi Palestin membuatkan diri insaf seketika betapa bertuahnya saya dilahirkan di Malaysia dan mempunyai tempat untuk membesar dan berbakti di negara yang jauh berbeza dengan Palestin. Di dalam hati, akan saya ceritakan pengalamn saya untuk direnungi segenap lapisan rakyat Malaysia agar bersyukur serta tidak berbalah sesama sendiri.

  • penulis merupakan Eksekutif Wartawan Penyiaran di Bilik Ber¬ita TV3
  • menyertai misi pertama ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation, PGPO pada Mei namun terkandas kerana pelayaran konvoi Freedom Flotilla diserang tentera Israel
  • diberi peluang kali kedua menyertai misi sama bersama Per¬satuan Bulan Sabit Merah Malaysia, PBSMM
  • penulis kini aktif memberi ceramah motivasi kepada pelajar IPT bagi berkongsi pengalaman dan pengajaran yang perlu dihayati
Halim Mohamed
Penulis boleh dihubungi di talian 019-2307936 atau ahalim@tv3. com.my
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jurnalis Shah Alam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger